X
LIM Guan Eng. FOTO Arkib NSTP
LIM Guan Eng. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Samadi Ahmad


BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, jam 9 pagi esok.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Guan Eng akan didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SRPM.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada jam 9 pagi, 10 Ogos ini kerana kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.

Setiausaha Agung DAP itu juga kemudiannya akan didakwa di mahkamah yang sama pada jam 9 pagi keesokan harinya (11 Ogos) kerana kesalahan mengikut Seksyen 23 akta sama.

Difahamkan, SPRM mendapat izin mendakwa Guan Eng daripada Peguam Negara.

Kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang itu adalah bersangkutan dengan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Terdahulu, Portal Harian Metro melaporkan Guan Eng sekali lagi hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, malam ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dilihat tiba di bangunan SPRM pada jam 9.10 malam menaiki Toyota Velfire berwarna putih.

Pada 26 Julai lalu, Guan Eng hadir kali ketiga bagi memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Sementara itu, tersebar dakwaan dalam kalangan petugas media yang sedang 'berkampung' di Ibu Pejabat SPRM bahawa Guan Eng akan ditahan namun tiada kenyataan rasmi mengenai perkara itu dikeluarkan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 10:23 PM