NANA Sheme harap sinar dalam kerjaya seni dengan kemunculan semula dalam Big Stage 2020. FOTO: Rohanis Shukri
NANA Sheme harap sinar dalam kerjaya seni dengan kemunculan semula dalam Big Stage 2020. FOTO: Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri

SEBUT sahaja judul lagu Hantu Atau Buaya, tentunya ia bukanlah satu lagu yang asing. Bahkan, ia pernah menjadi siulan ramai beberapa tahun lalu dan tersenarai dalam pertandingan nyanyian berskala besar di televisyen seperti Gegar Vaganza.

Namun begitu, masih ramai yang kurang tahu mengenai penyanyi yang mempopularkan lagu itu. Tambahan pula, penyanyi bernama Nana Sheme ini pernah mengambil keputusan untuk berehat sebentar daripada industri dan memberi tumpuan kepada pelajarannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Kini, Nana atau nama sebenar Nur Nabilah Hashimi, 25, kembali membuat kemunculan semula, sekali gus mengambil peluang menyertai program realiti Big Stage 2020 untuk mengorak langkah bagi memberikan sinar buat kerjaya seninya.

"Sekarang, saya dah habis belajar dan boleh berikan tumpuan sepenuhnya kepada bidang nyanyian. Dulu, rezeki saya untuk berkarya dalam bidang ini tak panjang. Jadi, saya pilih untuk berehat sebentar dan fokus kepada pelajaran," katanya.

Tidak menafikan bahawa namanya sebagai penyanyi mula dilupakan, Nana bersyukur kerana lagu nyanyiannya masih lagi diingati dan menjadi siulan.

"Apa yang boleh saya kata, ia adalah rezeki buat lagu itu (Hantu Atau Buaya) kerana terus dikenali dan orang tahu mengenai kewujudannya walaupun mungkin ramai yang dah tak ingat akan nama saya sebagai penyanyi," katanya.

Ditanya sama ada timbul rasa penyesalan kerana meninggalkan industri selama dua tahun, Nana menganggap itu sebagai tanggungjawabnya.

"Saya tak pernah rasa menyesal atau ralat kerana keputusan itu saya buat sendiri demi memegang amanah arwah ibu yang mahukan saya habis belajar di universiti.

"Lagi pula, sewaktu saya bersama label terdahulu, saya baru sahaja berusia 18 tahun dan banyak lagi yang saya tidak tahu mengenai perjalanan industri ketika itu," katanya.

Masih lagi menjadi ikon kepada golongan remaja, Nana memegang tanggungjawab besar buat peminat-peminatnya.

NANA lebih ramai peminat daripada kalangan remaja dan kanak-kanak. FOTO: Rohanis Shukri
NANA lebih ramai peminat daripada kalangan remaja dan kanak-kanak. FOTO: Rohanis Shukri

"Sewaktu saya baru sahaja menjejakkan kaki ke dalam industri, saya lebih ramai peminat daripada kalangan remaja dan kanak-kanak. Jadi, sehingga sekarang pun saya masih lagi seperti ikon mereka.

"Penting untuk saya tunjukkan contoh yang baik dan menjadi inspirasi buat mereka. Itu tanggungjawab saya," katanya.

Mengaku pernah alami tekanan perasaan

Kembali beraksi di dalam industri, bererti Nana juga kini sudah bersiap sedia untuk berdepan tekanan lebih-lebih lagi daripada warganet di media sosial.

Pernah mengalami tekanan perasaan sehingga memaksanya menjalani rawatan psikiatri, Nana berkata, dia kini lebih bersedia.

"Dulu, saya tak terbuka untuk bercerita mengenai perkara ini sebab ia bukanlah hal berkaitan dengan kerjaya seni saya. Sekarang, saya mula okey dan boleh bercerita mengenainya," katanya.

Menurut Nana, dia ingin memberi semangat buat mereka di luar sana yang berdepan masalah sama sepertinya.

"Saya terbuka untuk berkongsi cerita sekarang kerana saya tak mahu ada orang di luar sana yang tertekan dan rasa bahawa mereka bersendirian. Secara tak langsung, saya nak beri semangat kepada mereka supaya tidak membiarkan diri dikawal oleh tekanan itu.

"Saya sedar, mungkin menerusi program ini akan wujud kecaman-kecaman di media sosial dan sebagainya daripada warganet. Namun, saya dah bersiap sedia dan belajar bagaimana untuk berdepan dengan perkara itu," katanya.

Yang pasti, Nana akan terus mengorak langkah dengan penuh bersemangat untuk meletakkan namanya semula sebaris dengan penyanyi lain dalam industri muzik tanah air.

Selain lagu Hantu Atau Buaya, pada kemuncak populariti dikecapi Nana juga pernah dikenali dengan lagu Boleh Blah. Apapun, kedua-dua lagu itu mempunyai lirik yang 'cathy'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 6:00 AM