BERNAMA

BEKAS Menteri Kewangan Lim Guan Eng, hari ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Guan Eng, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Lim, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur, pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.

LIM Guan Eng ketika hadir di mahkamah, pagi ini. FOTO NSTP
LIM Guan Eng ketika hadir di mahkamah, pagi ini. FOTO NSTP

Berita berkaitan:

  • Guan Eng dibawa ke mahkamah
  • Pemimpin DAP hadir sokong Guan Eng
  • Kes rasuah: Guan Eng didakwa esok
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 10:07 AM