(G)I-DLE terharu tidak berhenti mendapat sokongan peminat.
(G)I-DLE terharu tidak berhenti mendapat sokongan peminat.
Georgie Joseph

BAHARU dua tahun mencipta nama, kumpulan (G)I-DLE pantas meniti di bibir pencinta hiburan K-Pop. Aura dan pesona kumpulan itu ternyata tersendiri serta kian bersinar.

Dianggotai Miyeon, Minnie, Soojin, Soyeon, Yuqi dan Shuhua bakat mereka juga terbukti berkualiti. Corak persembahan mereka di pentas cukup menyerlahkan kesungguhan menjadi penghibur disanjungi.

Menurut ketuanya Soyeon, kesemua mereka tidak berhenti berusaha untuk memastikan identiti sentiasa diperkuat. Setiap saat, mereka perlu fikirkan sisi kreatif masing-masing.

"Saya sentiasa menerima pertanyaan siapa inspirasi rujukan saya. Untuk muzik (G)I-DLE, saya kerap cuba mengumpul idea daripada setiap anggota kami.

"Daripada mencari inspirasi, kami lebih suka berbicara mengenai apa yang kami mahu saat ini atau apa jenis mesej ingin disebarkan.

"Kami memang bertukar fikiran sesama sendiri setiap masa dan berkongsi pendapat mengenai hal semasa. Usia kami pun lebih kurang sama, jadi buah fikiran pun sependapat," katanya.

Memandangkan mereka antara nama yang rancak menjalankan promosi, Soyeon akui turut terkesan dengan situasi pandemik Covid-19. Ternyata, mereka tidak terlepas cukup bersedih apabila jadual terjejas.

Apalagi mereka sendiri sangat seronok jika dapat bertemu peminat dalam dunia nyata. Namun, hal itu membantutkan hasrat berbuat demikian hingga satu tempoh tertentu.

"Memang sangat mengecewakan bilamana kami tak dapat bertemu dengan peminat dan konsert terpaksa dibuat dalam talian. Namun kami sentiasa berharap dapat jumpa mereka depan-depan pada konsert akan datang.

KUMPULAN baharu 2 tahun mencipta nama cukup menyerlah dengan persembahan berkualiti memikat pencinta K-Pop.
KUMPULAN baharu 2 tahun mencipta nama cukup menyerlah dengan persembahan berkualiti memikat pencinta K-Pop.

"Apapun, kami tetap mempersiapkan banyak aspek yang sesuai untuk konsert dalam talian bagi memastikan ia menghiburkan. Kami harap peminat terhiburlah," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai konsert sulung mereka baru-baru itu, Soyeon tidak menafikan sangat terharu dengan sokongan peminat meskipun hanya dalam talian. Baginya, sokongan kecil pun sudah cukup bermakna buat mereka.

"Agak menyedihkan tidak bertemu mereka secara nyata buat julung kali namun mereka banyak beri sokongan menerusi ruang sembang. Bahkan, mereka turut merakam sorakan istimewa dan menghantarnya kepada kami.

"Kami sangat terharu kerana sorakan itu sangat manis dan hampir menangis dibuatnya. Sudah lama rasanya tidak mendengar sorakan khas untuk kami itu. Harap dapat mendengarnya depan-depan tidak lama lagi," katanya.

Tampil dengan single baharu berjudul DUMDi DUMDi, menariknya (G)I-DLE sangat konsisten dalam berkarya. Mereka tidak pernah gagal untuk melancarkan lagu setiap kali peminat mendambakannya.

Menyentuh hal itu, Soyeon berkata corak berkarya sebegitu bukannya disebabkan mereka tertekan dengan permintaan peminat. Sebaliknya ia tanda dedikasi mereka untuk peminat selain mahu sentiasa gembirakan semua.

"Berbanding merasa tertekan, kami sebenarnya sangat bersyukur terhadap kasih sayang tidak berhenti diberikan semua termasuk untuk muzik kami. Meskipun tidak dapat bertemu buat masa ini, kami cuba sedaya-upaya berinteraksi dengan mereka secara maya," katanya.

Bercerita mengenai single terbaru DUMDi DUMDi pula, mereka ingin memperkasakan mesej muda-mudi dalam lagu itu. Menurutnya, elemen itu sangat relevan buat golongan terbabit menikmati musim panas sekarang.

TAMPIL mempersembahkan single baharu DUMDi DUMDi dalam sebuah showcase virtual baru-baru ini.
TAMPIL mempersembahkan single baharu DUMDi DUMDi dalam sebuah showcase virtual baru-baru ini.

"Untuk lebih tepat, kami sentiasa mahu tampil dengan cerita baharu setiap kali berbanding menampilkan aspek berbeza semata-mata. Ini kali pertama kami menyentuh mengenai topik muda-mudi juga.

"Kami berharap lapisan umur ini akan terhibur dengan elemen muda-mudi cuba disampaikan dalam lagu ini. Rentaknya juga cukup bertepatan dengan suasana musim panas yang sedang dinikmati sekarang," katanya.

Dalam pada itu, (G)I-DLE turut gembira apabila semangat mereka untuk tampil menjadi penghibur terbaik membara setiap masa. Banyak faktor menjadi kekuatan mereka untuk terus buktikan kumpulan itu luar biasa.

Justeru, mereka ingin terus menunjukkan sisi yang berkualiti demi menguatkan kepercayaan peminat terhadap mereka. Meskipun baharu setahun jagung tidak bermakna mereka tidak sehebat mana.

"Anggota kami iaitu Minnie sanggup meninggalkan kampung halamannya yang jauh untuk ke ibu kota demi mengejar impian. Dia tidak mahu pulang dengan tangan kosong dan bersungguh-sungguh ingin berjaya.

"Selain itu, masing-masing juga ada pengorbanannya sendiri untuk ke tahap sekarang. Ada antara kami yang mahu berbakti untuk membanggakan kedua-dua ibu bapa. Selain itu, kami mahu menjadi seseorang yang terbaik dan istimewa.

"Saat ini, kami mahu memastikan untuk menyerlahkan sisi ceria serta comel kami. Tidak ketinggalan, kami juga tetap akan buktikan betapa seriusnya kami dalam menghasilkan mutu muzik yang bertaraf tinggi," katanya.

(G)I-DLE ditubuhkan pada 2018 dan bernaung di bawah label Cube Entertainment. Kumpulan itu mula mendapat perhatian menerusi single pengenalan mereka berjudul Latata, sekali gus mengumpul peminat tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 6:00 AM