Pelakon, Awal Ashaari. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Pelakon, Awal Ashaari. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Syafil Syazwan Jefri


PENGACARA terkenal, Awal Ashaari berkongsi mengenai anaknya, Lara Alana, 6, yang kini mula menunjukkan sikap 'cemburu' dengan kehadiran adiknya  yang bakal dilahirkan pada Februari tahun depan.

Awal ditemui berkata Lara seperti berasa dirinya kurang mendapat perhatian daripada ibu, Scha Alyahya yang kini hamil empat bulan.

"Pada peringkat awal, dia seronok. Tapi, dalam dua ke tiga minggu ini dia cepat merengek dan nampaknya, seperti inginkan perhatian. Dia bertanya kepada saya, kenapa bila dia bercakap dengan ibunya, tapi tak dilayan.

"Saya jelaskan kepadanya mengenai bayi dalam kandungan Scha dan dia mula faham. Tapi, pada masa sama, dia banyak bertanya, selepas ibu bersalin nanti, adiknya akan tinggal dengan siapa dan siapa akan teman dia tidur," katanya kepada Harian Metro.

Tambah pengacara program Melodi itu lagi, dia dan isterinya belum melihat 'keakraban' antara Lara dengan adiknya yang bakal lahir itu.

AWAL dan keluarganya.
AWAL dan keluarganya.

"Apa yang saya nampak, hubungan 'akrab' antara Lara dengan adiknya itu belum ada. Saya sampai terpaksa mereka cerita, beritahu dia bahawa adiknya kirim salam dan adik suruh saya belikan mainan untuk Lara.

"Jadi, sedikit sebanyak, dapat sedapkan hatinya dan buatkan dia rasa bahawa adiknya itu sebenarnya baik dan sangat sayangkannya," kata Awal.

Berkongsi mengenai cerita kehamilan isterinya, Awal berkata, Scha yang juga pengacara dan pelakon, mula menunjukkan perubahan dari segi selera makan.

"Banyak makanan yang dia suka makan sebelum ini, dia tak pandang pun kalau saya beli. Jika ada makanan sedap dia mengidam nak makan, dia beli sendiri melalu pesanan dalam talian (online).

"Ada juga beberapa kali dia teringin untuk makan masakan saya seperti nasi goreng sardin dan juga bubur jagung. Jadi, saya sediakan untuknya," katanya.

Beberapa hari lalu, Awal menerusi Instagramnya berkongsi video pendek berdurasi 38 saat, memaparkan keterujaan Lara yang bakal mendapat adik, selain ungkapan rasa bahagianya meraikan ulang tahun kelahiran ke-39.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 4:01 PM