KANAK-KANAK yang didakwa penduduk disembunyikan makhluk dipangku ibunya. FOTO Ihsan Pembaca
KANAK-KANAK yang didakwa penduduk disembunyikan makhluk dipangku ibunya. FOTO Ihsan Pembaca
Juwan Riduan


PENDUDUK Kampung Kelangsat di Sipitang mendakwa kehilangan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di kampung itu semalam bukannya diculik sebaliknya disembunyikan makhluk halus.

Dalam satu kenyataan tular di media sosial semalam, kanak-kanak terbabit pada awalnya dikatakan diculik sehingga menimbulkan kegusaran penduduk di sekitar Sipitang.

Bagaimanapun, siasatan polis di lokasi mendapati, beberapa penduduk kampung mempercayai insiden itu berkaitan dengan unsur mistik.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, sepasukan polis dikerah ke kampung berkenaan untuk menjalankan siasatan sekiranya ada unsur jenayah dan penculikan berhubung kejadian itu.

Katanya, hasil temu bual dengan Ketua Kampung, Matius Balau dan beberapa penduduk kampung menafikan kanak-kanak iti diculik, sebaliknya mendakwa mangsa dipercayai disembunyikan makhluk halus.

"Kejadian didakwa berlaku pada Maghrib kira-kira 6.30 petang. Mangsa yang hilang dikatakan ditemui di belakang rumah ketua kampung sendiri.

"Mangsa dikatakan ditemui di kawasan tanah lapang dalam keadaan telentang sambil melekapkan tangan di dada," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Champin berkata, mangsa ketika ini masih lemah dan ahli keluarga mangsa juga mengadakan ritual keagamaan mengikut kepercayaan mereka susulan kejadian itu.

LOKASI mangsa ditemui di Kampung Kelangsat, Sipitang. FOTO Ihsan Pembaca
LOKASI mangsa ditemui di Kampung Kelangsat, Sipitang. FOTO Ihsan Pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 11:23 AM