AWAL yang juga pengacara program Melodi itu berkongsi pengalamannya menjaga isteri yang sedang hamil. FOTO Rohanis Shukri
AWAL yang juga pengacara program Melodi itu berkongsi pengalamannya menjaga isteri yang sedang hamil. FOTO Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri

KEHADIRAN cahaya mata dalam keluarga tentunya menjadi berita paling membahagiakan.

Bagi pasangan Awal Ashaari dan Scha Alyahya, berita gembira itu bukan sahaja mencipta rasa teruja dalam keluarga kecil mereka, bahkan turut dikongsi sama dengan peminat.

Selepas anak sulung mereka, Lara Alana menjengah usia enam tahun, pasangan itu kini bakal menimang cahaya mata kedua apabila Scha kini sedang hamil empat bulan.

Berkongsi kegembiraannya, Awal yang juga pengacara program Melodi itu berkongsi pengalamannya menjaga isteri yang sedang hamil.

"Kami mendapat tahu mengenai kehadiran bakal cahaya mata kedua ini sejak Mac lalu. Namun, kami memilih untuk merahsiakannya terlebih dahulu memandangkan ia masih dalam peringkat awal.

"Kalau nak diikutkan, usaha kami untuk mendapatkan anak kedua sudah bermula sejak Lara berusia tiga tahun lagi. Namun, pada waktu itu belum ada rezeki dan nampaknya, Allah memberi rezeki anak kepada kami dalam tahun ini," katanya.

Berkongsi mengenai pengalaman ketika membuat ujian kehamilan pada Mac lalu, Awal berkata, dia membeli pelbagai jenis alat ujian kehamilan dari farmasi.

"Saya beli banyak alat ujian kehamilan daripada yang paling murah hinggalah yang mahal. Setiap hari, Scha akan buat ujian dan kalau nak diikutkan, lebih tujuh kali Scha jalankan ujian.

"Ujian pertama, garisan penanda itu nampak samar-samar. Tapi, semakin hari, penandanya semakin jelas dan sampailah kami menjalani pemeriksaan dengan doktor," katanya.

Berkongsi mengenai 'perangai' aneh isterinya, Awal berkata, Scha kini cepat rimas dengan bunyi-bunyian.

"Ketika Scha mengandungkan Lara, dia memang tak suka memegang telefon dan tidak aktif di media sosial. Jadi, perkara sama berulang dan itu tidak terlalu mengejutkan saya.

"Yang menjadi kejutan buat saya adalah dia benar-benar tidak sukakan bunyi bising sehingga menonton TV pun dia akan matikan suara.

"Kalau drama atau filem yang disediakan sarikata, tak jadi masalah. Tapi apabila yang tidak ada sarikata, saya sendiri pun hairan melihat kerenahnya," katanya.

Scha juga pernah meluahkan hasratnya untuk menutup akaun media sosialnya tetapi Awal tidak membenarkannya.

"Saya juga terpaksa letakkan telefon dalam 'mood' senyap kerana dia cepat terganggu. Kalau anda nak tahu, selama lebih tiga bulan ini sayalah yang menjaga akaun Instagram Scha dan sering memuat naik benda-benda berkaitan kerja memandangkan ada komitmen kerja yang harus dikongsikan," katanya.

LARA ketika menyambut ulamgtahun kelahirannya baru-baru ini. FOTO Rohanis Shukri
LARA ketika menyambut ulamgtahun kelahirannya baru-baru ini. FOTO Rohanis Shukri

Ditanya mengenai Lara yang bakal bergelar kakak, dia kini mula menunjukkan sikap 'cemburu' dengan kehadiran adiknya yang dijangka dilahirkan pada Februari tahun depan.

Awal berkata, Lara seperti merasakan dirinya kurang mendapat perhatian daripada ibunya yang juga pelakon dan pengacara itu.

"Pada peringkat awal, dia seronok. Dalam dua ke tiga minggu ini, dia cepat merengek dan nampaknya, seperti inginkan perhatian. Dia bertanya kepada saya, kenapa bila dia bercakap dengan ibunya, tapi ibunya tak layan.

"Saya jelaskan kepadanya mengenai bayi dalam kandungan Scha dan dia mula faham. Tapi, pada masa sama, dia banyak bertanya, selepas ibunya bersalin adiknya akan tinggal dengan siapa dan siapa akan teman dia tidur," katanya.

Menurutnya, dia dan Scha belum melihat 'keakraban' antara Lara dengan adiknya yang bakal lahir itu.

"Apa yang saya nampak, hubungan 'akrab' antara Lara dengan adiknya itu belum ada. Saya sampai terpaksa mereka cerita, beritahu dia bahawa adiknya kirim salam dan adiknya suruh saya belikan mainan untuk Lara.

"Jadi, sedikit sebanyak, dapat sedapkan hatinya dan buatkan dia rasa bahawa adiknya itu sebenarnya baik dan sayangkannya," katanya.

Berkongsi mengenai cerita kehamilan isterinya, Awal berkata, Scha mula berubah dari segi selera makan.

"Banyak makanan yang dia suka makan sebelum ini, dia tak pandang pun kalau saya beli. Kalau ada dia kempunan untuk makan apa-apa makanan, dia sendiri akan pesan secara online.

"Ada juga beberapa kali dia teringin untuk makan masakan saya seperti nasi goreng sardin dan juga bubur jagung. Jadi, saya sediakan untuknya," katanya.

Berkongsi mengenai cara dia dan Scha untuk membesarkan cahaya mata kedua ini, Awal berkata, ia bergantung kepada keputusan bersama.

"Kalau perempuan, mungkin cara membesarkannya tak jauh beza dengan Lara. Kalau lelaki, ada sedikit perbezaan memandangkan tanggungjawab anak lelaki lebih besar.

"Dari segi pendedahan anak-anak kepada umum, mungkin kami akan berbincang sama ada akan diberikan pendedahan atau bagaimana. Yang pasti, kami ingin membesarkan anak kami seperti ibu bapa lain di luar sana walaupun ia sedikit mustahil," katanya.

Terbaru, Awal kini sedang bekerja keras untuk menyelesaikan pelbagai cabang kerja seni dalam norma baharu selepas banyak berdepan kerugian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 6:00 AM