Arzuham sedang dirawat di Royal Hospital Sudan. FOTO Ihsan Arsuhaily Mohd Arih
Arzuham sedang dirawat di Royal Hospital Sudan. FOTO Ihsan Arsuhaily Mohd Arih
Yusmizal Dolah Aling


SELEPAS bertarung nyawa selama dua minggu, rakyat Malaysia, Arzuham Mohd Arih, 44, atau Am meninggal dunia di Hospital Royal Sudan, pada 7.11 malam waktu Malaysia.

Allahyarham yang disahkan dijangkiti Covid-19 sejak 23 Julai lalu dikebumikan malam ini selepas disembahyangkan.

Abangnya, Arsuhaily Mohd Arih berkata, keluarganya dimaklumkan mengenai berita sedih itu oleh pegawai kedutaan Malaysia di Sudan ketika dalam proses untuk membawa pulang Arzuham ke tanah air.

"Saya menerima panggilan daripada pegawai kedutaan memaklumkan mengenai Am sudah tiada.

"Arwah adik saya itu akan dikebumikan malam ini dan ketika ini jenazahnya sedang disolatkan," katanya kepada Harian Metro.

Arsuhaily berkata, keluarganya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan Am sejak kisah mengenainya tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Katanya, dia juga berterima kasih kepada persatuan pelajar Malaysia di Sudan yang banyak membantu walaupun mereka sendiri dalam keadaan memerlukan bantuan untuk pengajian.

"Semua wang yang disumbangkan untuk membawa pulang arwah akan disalurkan kepada Tabung Covid-19. Keluarga saya ada tawarkan kepada persatuan pelajar, tetapi mereka menolak," katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan keluarga Am memerlukan RM760,000 untuk membawa pulang dia dan keluarganya ke tanah air bagi membolehkan rawatan dijalankan di sini.

Ini kerana, hospital di Sudan kekurangan peralatan dan dia hanya bergantung kepada ventilator sejak koma 14 hari lalu.

Berita berkaitan

Mohon bantu rakyat Malaysia koma di Sudan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 10:55 PM