PUSAT Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat yang terbiar dan masih belum dibenarkan beroperasi berikutan masih di dalam kes di mahkamah. FOTO Mustaffa Kamal
PUSAT Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat yang terbiar dan masih belum dibenarkan beroperasi berikutan masih di dalam kes di mahkamah. FOTO Mustaffa Kamal
Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling


"SAYA maafkan dan saya minta semua doakan yang terbaik untuk dia. Mungkin di dalam tahanan nanti dia akan berubah dan kita doakan dia menjadi lebih baik, insan yang baik dan berguna," kata Mazzaini Muda.

Mazzaini adalah ibu kepada Allahyarham Ahmad Rijal Mohammad Rodzi, salah seorang mangsa kebakaran tragis Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hampir tiga tahun lalu.

Katanya, keluarganya menjangkakan akan ada hukuman dikenakan namun menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan dengan hati yang terbuka.

Menurutnya, sebagai keluarga mangsa, dia juga yakin sepanjang berada di dalam tahanan, remaja berkenaan juga sudah melalui proses pengajaran terbaik dalam hidupnya.

"Perkara sudah berlaku dan hukuman juga sudah dijatuhkan. Kita kena terima dan yang penting doakan dia jadi manusia yang baik.

"Nabi juga ampunkan umat dan ajar kita maafkan sesama manusia. Saya tidak ada apa-apa perasaan dendam, benda juga sudah berlaku," katanya kepada Harian Metro.

Mazzaini berkata, sehingga kini perasaan rindu kepada arwah tidak pernah hilang dan keluarganya sering menziarahi pusara arwah di Putra Perdana, berdekatan dengan kediaman.

Sebagai ibu katanya, sudah tentu perasaan itu tidak dapat dibendung, tetapi mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu dan menerima hakikat kehilangan orang tersayang.

"Saya juga tidak hadir untuk mendengar keputusan. Tak apalah, kita doakan yang terbaik untuk dia dan kita semua," katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, mensabitkan seorang remaja lelaki bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, hampir tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman penjara terhadap remaja itu yang kini berusia 19 tahun sehingga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Keputusan itu dibuat selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Berita berkaitan

Timbalan Pendakwa Raya sebak

Remaja bakar tahfiz dipenjara hingga dapat pengampunan Agong

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 4:48 PM