RENTSENKHORLOO BUD. FOTO Instagram
RENTSENKHORLOO BUD. FOTO Instagram
Agensi

New York: Seorang wanita Mongolia berdepan masalah untuk mendapatkan seluar atau skirt berikutan mempunyai saiz kaki yang panjang.

Ia memandangkan Rentsenkhorloo Bud, 29, yang kini menetap di Amerika Syarikat memiliki ketinggian kira-kira 2.05 meter (m) dan mempunyai sepasang kaki dipercayai kedua terpanjang di dunia.

Saiz kakinya, jika diukur dari pinggang ke tumit, adalah 52.18 inci atau kira-kira 1.32 m.

Ia menyebabkan wanita itu sukar untuk mencari seluar atau skirt yang dijual di kedai atau pasar raya.

Times Now News melaporkan Rentsenkhorloo mewarisi ketinggian luar biasa itu daripada ibu bapanya.

Ibu dan bapanya, kedua-duanya warga Mongolia, masing-masing mempunyai ketinggian 1.85m dan 2.08m.

Bagaimanapun, ketinggian itu turut membawa masalah kepada wanita berkenaan kerana berdepan kejadian buli ketika zaman kanak-kanak dan remaja.

"Ketika itu, ia menyebabkan saya tidak selesa dengan diri sendiri.

"Namun, sejak 15 tahun lalu, saya mula menyukai ketinggian ini kerana ia menyebabkan saya berbeza daripada orang lain," katanya seperti yang dilaporkan Daily Mirror.

Wanita itu berkata, dia juga semakin yakin dengan penampilan dan memanfaatkan ciri unik dimiliki itu untuk menjadi model sambilan.

"Saya baru sahaja bekerjasama dengan satu jenama legging untuk wanita yang tinggi lampai," katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui ada kalanya ketinggian itu menyebabkan masalah dalam kehidupan seharian.

Sebagai contoh katanya, dia sukar untuk mendapatkan pakaian dan kasut yang sesuai dengan bentuk tubuhnya.

"Selain itu, saya perlu membongkok apabila melalui pintu atau memasuki bilik kecil," katanya.

Berdasarkan rekod dunia Guinness, individu dengan kaki terpanjang di dunia dimiliki oleh Ekaterina Lisina dari Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 6:35 AM