MASJID di Padang Serai, Kulim, ditutup sementara selama dua minggu berikutan penularan wabak Covid-19 dalam Kluster Tawar. FOTO AMRAN HAMID.
MASJID di Padang Serai, Kulim, ditutup sementara selama dua minggu berikutan penularan wabak Covid-19 dalam Kluster Tawar. FOTO AMRAN HAMID.
Noorazura Abdul Rahman


KERAJAAN negeri mencadangkan agar kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan larangan merentas daerah di Kedah susulan penularan Kluster Tawar.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya sangat berharap cadangan itu dipertimbangkan berikutan hanya kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan larangan itu.

"Sehingga kini kerajaan negeri masih menunggu pengumuman daripada kerajaan Persekutuan setelah cadangan itu dinyatakan semalam.

"Kita hantar cadangan sama untuk dipertimbangkan sekali lagi hari ini dan saya dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa beliau akan memanggil KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) mesyuarat dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penajaan Biasiswa dan Pinjaman Pendidikan antara Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Yayasan Islam Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, cadangan larangan merentas daerah itu mempunyai beberapa peraturan harus dipatuhi penduduk setempat.

"Yang dalam kawasan (daerah) itu boleh keluar, boleh berniaga cuma dia tak boleh rentas ke kawasan lain. Sebabnya kita nampak Kluster Tawar ini sudah merebak ke banyak tempat.

"Orang Baling duduk dalam Baling saja, senang kita nak kawal penularan wabak Covid-19.

"Tapi apa pun kita kena tunggu kelulusan kerajaan Persekutuan, kerajaaan negeri tiada kuasa dalam bidang ini," katanya.

KKM hari ini mengesahkan terdapat tiga kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar menjadikan jumlah kes positif kluster itu sebanyak 73 kes.

Sehingga hari ini, seramai 4,051 individu disaring di tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak berkaitan Kluster Tawar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 8:41 PM