GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Agensi

New Delhi: Seorang wanita di India memberi alasan tidak masuk akal apabila nekad memohon cerai dengan memberi alasan suaminya terlalu baik.

Malah, wanita dari daerah Sambhal, Uttar Pradesh itu memberi alasan tidak pernah bertengkar sepanjang berkahwin dengan lelaki itu.

Oddity Central melaporkan wanita terbabit mengambil keputusan untuk memfailkan permohonan berkenaan di mahkamah hanya selepas 18 bulan berkahwin dengan suaminya.

Ketika diminta menjelaskan alasannya menuntut cerai, wanita itu berkata, suaminya terlalu menyayanginya.

Dia juga sukar untuknya menerima hakikat yang mereka tidak pernah berbalah sepanjang perkahwinan.

Wanita tidak didedahkan identitinya itu berkata, dia pernah cuba melakukan provokasi dengan menyuruh suaminya memasak dan melakukan pelbagai kerja rumah.

Tetapi lelaki berkenaan tidak membantah, sebaliknya hanya menurut kata.

Keadaan itu membuatkan wanita berkenaan 'muak' dengan perkahwinannya dan akhirnya, nekad memfailkan perceraian.

"Suami saya tidak pernah meninggikan suara atau berkecil hati dengan perbuatan saya mengenai apa jua perkara.

"Malah, dia rajin memasak untuk saya dan membantu saya melakukan kerja rumah.

"Setiap kali saya lakukan kesalahan, dia akan memaafkan saya. Saya mahu berbalah dengannya dan tidak mahu hidup dengan suami yang hanya menurut kata," katanya.

Selepas mendengar alasan, mahkamah menolak tuntutan wanita berkenaan dengan meminta pasangan itu menyelesaikan 'masalah' itu secara baik.

Biarpun permohonan itu ditolak, dia berkeras minta untuk bercerai dan merujuk kes itu ke jawatankuasa kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 6:30 AM