DR Mohd Khairuddin. FOTO Ghazali Kori
DR Mohd Khairuddin. FOTO Ghazali Kori
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS sedang melengkapkan kertas siasatan ke atas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berhubung kegagalan mematuhi kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis sudah mengambil keterangan Mohd Khairuddin selama tiga jam bermula 8.30 malam hingga 11.30 malam tadi bagi membantu siasatan.

"Polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan ke atasnya (Mohd Khairuddin) selepas mengambil keterangannya malam tadi," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan Mohd Khairuddin tiba di Bukit Aman pada 8 malam untuk mengambil keterangan selepas sesi mengambil keterangan di bangunan Parlimen semalam tidak dibuat sehari sebelum itu.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, isu mengenai Mohd Khairuddin diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan Mohd Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos lalu atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pula dilaporkan mengesahkan pihaknya membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin selepas menerima 27 laporan polis berhubung kegagalan beliau mematuhi kuarantin wajib.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 4:06 PM