GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika berada di padang bola di Jalan Impian Emas, 14, Taman Impian Emas di Johor Bahru, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, dalam kejadian pada 2.45 petang itu, mangsa, Musyrif Hakimi Musaffendy dipercayai tidak memakai kasut ketika berada di padang berkenaan dan kawasan di mana mangsa berdiri ketika itu basah berikutan hujan.

"Pihak polis menerima panggilan telefon pada 3 petang dengan dimaklumkan bahawa terdapat seorang kanak-kanak lelaki terkena renjatan elektrik.

"Difahamkan ketika kejadian, mangsa sempat mengadu kepada seorang rakannya bahawa dia berasa panas dan kemudiannya rebah," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebelum itu, terdapat aktiviti bulan kemerdekaan dan kibaran Jalur Gemilang anjuran sebuah agensi kerajaan di padang bola berkenaan yang bermula dari 8.30 pagi hingga 4 petang.

Katanya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 9:21 PM