RAKAMAN video insiden pergaduhan yang tular. FOTO Ihsan Pembaca
RAKAMAN video insiden pergaduhan yang tular. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Amanina Suhaini


ENAM lelaki tempatan yang ditahan susulan insiden pergaduhan ketika majlis sambutan hari jadi di sebuah kedai makan di Forest City, Gelang Patah pada 23 Ogos lalu, akan dituduh di Mahkamah Johor Bahru pada Selasa ini.

Difahamkan, tiada tangkapan baharu dibuat dan kesemua mereka akan dituduh mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rakaman video berdurasi 2.07 minit yang memaparkan pergaduhan antara dua kumpulan itu turut tular di laman sosial.

Pergaduhan dipercayai berpunca akibat insiden satu daripada kumpulan individu itu terlanggar meja makan kumpulan individu lain ketika menyambut ulang tahun kelahiran rakan di lokasi kejadian, kira-kira 8 malam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, Balai Polis Tanjung Kupang menerima laporan berhubung kejadian itu daripada lelaki yang mengusahakan kedai makan itu pada 24 Ogos lalu.

Beliau berkata, lelaki itu melaporkan, pergaduhan berlaku membabitkan kira-kira 10 lelaki tempatan.

Katanya, akibat pergaduhan itu, meja dan kerusi di kedai makan miliknya itu berselerak dan mendakwa kerugian kira-kira RM300 akibat kerosakan.

"Siasatan awal polis mendapati punca pergaduhan membabitkan 10 lelaki yang membuat majlis sambutan hari jadi sebelum bertengkar sesama sendiri dan pada masa sama terlanggar meja makan kumpulan individu yang lain.

"Ia menyebabkan pergaduhan, namun tiada sesiapa yang mengalami kecederaan serius, selain mereka dipercayai dalam keadaan mabuk," katanya kepada media, hari ini.

Dzulkhairi berkata, susulan itu, pada 2.30 petang, 24 Ogos lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahan enam lelaki tempatan sekitar kawasan Bandar Baru Kangkar Pulai dan Taman Nusa Bestari.

Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 31 tahun, selain semakan rekod jenayah ke atas semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati negatif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 4:59 PM