Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling


JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara merekodkan 14 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 9,354 kes.

Satu kematian turut direkodkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat Covid-19 di negara ini adalah 128 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada keseluruhan kes baharu itu lima adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan semua bukan warga negara.

"Lima kes itu adalah masing-masing satu kes dari negara Ukraine, Pakistan dan Indonesia yang dilaporkan di Selangor. Dua kes dilaporkan di Sabah iaitu mereka yang pulang dari Filipina.

"Daripada sembilan kes penularan di dalam negara, lima kes adalah dalam kalangan warga negara dan empat kes bukan warga negara.

"Di Kedah iaitu dua kes dilaporkan membabitkan Kluster Tawar dan Kluster Telaga. Di Sabah terdapat tiga kes iaitu satu kes dari Kluster Benteng Lahad Datu, satu kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Lahad Datu dan satu kes saringan tahanan di penjara. Dalam kalangan bukan warga negara juga membabitkan Kluster Benteng," katanya dalam sidang media, hari ini.

Mengenai kes kematian, beliau berkata, kes ke-9,174 membabitkan wanita tempatan berusia 80 tahun yang mempunyai latar belakang barah paru-paru dan darah tinggi.

"Beliau adalah salah satu kes positif dilaporkan pada 15 Ogos lalu dalam Kluster Tawar. Beliau mengalami demam dan sakit dada sejak 6 Ogos sebelum dimasukkan ke sebuah pusat perubatan.

"Pada 14 Ogos beliau dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang dan didapati positif Covid-19. Keadaan kesihatan beliau merosot dengan komplikasi penyakit barah justeru memerlukan bantuan pernafasan sejak 24 Ogos.

"Beliau disahkan meninggal dunia pada 10.38 pagi tadi," katanya.

DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini terdapat lima kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, katanya, sebanyak 21 kes yang pulih dan dibenarkan keluar wad menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 9,075 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 5:47 PM