Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Ramai rakan yang tidak menyangka saya dan suami akan berkahwin tetapi itu yang dinamakan jodoh.

"Alhamdulillah, suami terima seadanya walaupun saya berbadan besar," kata Norasyidah Mokhtar, 29, pembantu tadbir berasal dari Gambang, Pahang.

Dia memberikan reaksi itu ketika mengulas mengenai perkahwinannya dengan suami, Mohamad Farid Alias, 30, yang mendapat perhatian warganet sejak Ahad lalu.

Ia berikutan gambar perkahwinan mereka menunjukkan aksinya mengendong suami yang tular di laman sosial dengan rata-rata warganet menyifatkannya lain daripada yang lain.

Menurutnya, gambar itu diambil di halaman rumah selepas melangsungkan pernikahan dengan suaminya, Ahad lalu.

Norasyidah berkata, rakannya yang memberi cadangan untuk mengambil gambar sebegitu dan dia mahupun suami tidak keberatan kerana hanya mahu bergembira di hari perkahwinan mereka.

"Selepas majlis pernikahan, saya dan suami mengambil gambar kenangan di halaman rumah dan pada waktu itulah, rakan kami yang hadir memberi idea untuk mengendong suami.

"Saya tidak malu, begitu juga dengan suami yang turut 'sporting' untuk bergambar. Lagipun saya lebih berat daripada suami, jadi tidak mungkin dia yang mengendong saya.

"Gambar itu kemudian dimuat naik ke laman sosial termasuk di kumpulan pendaki di Facebook (FB).

"Tak sangka pula ia akan tular sedangkan niat saya adalah untuk berkongsi detik hari bahagia," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menceritakan bagaimana hubungannya dengan suami terjalin, Norasyidah berkata, perkenalan mereka berlaku secara tidak sengaja pada April 2007.

"Ketika itu saya bersekolah di tingkatan empat manakala suami setahun lebih berusia. Saya mahu menghubungi seseorang tetapi tersilap nombor telefon dan di situlah titik permulaan perkenalan saya dengan suami.

"Sepanjang lapan bulan, kami tidak pernah berjumpa dan melihat wajah satu sama lain tetapi saya ada berterus terang dengan suami mengenai keadaan fizikal diri.

"Namun, dia tidak keberatan untuk berkawan dan pada hujung 2007, kami bertemu tetapi hubungan itu terputus pada 2015.

"Hujung tahun lalu, dia menghubungi saya semula dan melamar menjadi isterinya pada awal tahun ini," katanya.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, hubungan mereka direstui kedua-dua belah keluarga malah dia bersetuju untuk berkahwin kerana arwah ibunya, Rosna Othman pernah beberapa kali menyebut nama suaminya itu sebelum meninggal dunia.

"Keputusan kami untuk berkahwin tidak mendapat halangan kedua-dua belah keluarga malah suami sendiri mengakui serius menjadikan saya isterinya.

"Lagipun dia berkhidmat sebagai tentera, jadi proses perkahwinan bukan perkara yang mudah kerana banyak prosedur perlu dilalui, jadi itu yang meyakinkan saya untuk menerimanya sebagai suami.

"Suami tidak minta saya kuruskan badan tetapi saya akan berusaha ke arah itu memandangkan berat kini sudah mencecah 145 kilogram (kg) manakala suami 53 kg sahaja.

"Perkahwinan ini bukti jodoh itu ada, cuma cepat atau lambat sahaja. Diharap mereka di luar sana yang berbadan besar seperti saya tidak putus asa dan rasa rendah diri," katanya yang aktif dalam aktiviti pendakian dan akan berbulan madu di Semporna, Sabah dalam waktu terdekat.

NORASYIDAH mendukung suaminya (kiri) dan Farid dikendong Norasyidah (kanan). FOTO ihsan Norasyidah Mokhtar
NORASYIDAH mendukung suaminya (kiri) dan Farid dikendong Norasyidah (kanan). FOTO ihsan Norasyidah Mokhtar

Sementara itu, Mohamad Farid yang berkhidmat di Kem Syed Sirajuddin, Gemas berkata, dia menerima Norsyidah sebagai isteri dengan seadanya malah tidak pernah meletakkan soal rupa atau penampilan sebagai kriteria untuk memilih pasangan.

"Paras rupa bukan ukuran kerana kita semua tidak sempurna. Apa yang penting, saya dan isteri boleh menerima kelebihan dan kekurangan satu sama lain.

"Saya gembira dengan perkahwinan ini dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 9:00 PM