LAPORAN eksklusif Harian Metro berhubung kartel dadah di Pulau Langkawi
LAPORAN eksklusif Harian Metro berhubung kartel dadah di Pulau Langkawi
Nurul Hidayah Bahaudin


KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengakui pihaknya menyedari kewujudan kegiatan penagihan dan penjualan dadah di Pulau Langkawi, Kedah yang dipercayai didalangi anggota polis serta konco-konconya.

Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah mengambil beberapa langkah drastik bagi mengatasi masalah itu.

"Sejak tahun lalu, terdapat dua operasi besar-besaran dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di seluruh pulau berkenaan.

"Ratusan penagih dan pengedar kecil juga berjaya ditangkap. Saya juga sudah mengarahkan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi supaya kerap menggempur kawasan-kawasan terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, beberapa anjing daripada unit anjing pengesan (K9) JSJN akan ditempatkan secara tetap di kawasan berkenaan sebelum Disember ini bagi memperkasakan usaha membanteras dadah.

"Di samping itu, kerajaan sudah meluluskan permohonan menaik taraf IPD Langkawi daripada kategori B kepada kategori A.

"Ini menjadikan jawatan Ketua Polis Daerah Langkawi akan dinaikkan ke pangkat Asisten Komisioner dan sekali gus daerah ini akan mendapat pertambahan keanggotaan," katanya.

Dalam laporan eksklusif akhbar, hari ini, Skuad Khas Harian Metro merungkai persoalam mengapa masalah dadah di Langkawi tidak tidak pernah selesai.

Harian Metro melaporkan masalah dadah di pulau peranginan itu tertumpu kepada pembabitan secara langsung anggota pasukan beruniform biru.

Menurut sumber, kegiatan penagihan dan penjualan dadah di Langkawi membabitkan tokan kecil yang dikawal seorang anggota polis dan konconya serta sebarang tokan baharu mahu berurus niaga akan ditahan jika tidak mendapat 'restu' mereka.

Tahun lalu, 1,230 penagih dadah ditahan dan jumlah itu dalah yang kedua tertinggi selepas Kota Setar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 10:48 AM