Beruang Matahari yang berdepan masalah gigi dirawat oleh sepasukan pakar pergigian forensik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Perhilitan. FOTO PERHILITAN
Beruang Matahari yang berdepan masalah gigi dirawat oleh sepasukan pakar pergigian forensik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Perhilitan. FOTO PERHILITAN
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Bukan hanya manusia perlu berjumpa doktor gigi, malah seekor beruang matahari terpaksa menjalani rawatan sama selepas mengalami kesakitan pada gigi taringnya.

Pemeriksaan gigi beruang matahari seberat lebih 86 kilogram itu terpaksa dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dibantu sepasukan pakar pergigian forensik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pegawai Perhilitan, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia bekerjasama dengan pasukan pergigian forensik ATM bagi melakukan prosedur pemeriksaan gigi beruang matahari di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC).

Menurutnya, beruang yang diberi nama Wak Suharto itu mengalami masalah pada gigi taring akibat kecederaan trauma ketika diselamatkan di Felda Kampung Soeharto, Selangor, tahun lalu.

"Beruang ini ditangkap menggunakan perangkap beruang yang dipasang di kawasan aduan pada 15 Ogos tahun lalu susulan konflik yang berlaku. Haiwan itu bagaimanapun dikesan turut mengalami kecederaan pada mulut dan giginya ketika dia diselamatkan.

"Beruang itu kemudian dibius sebelum pemeriksaan dan rawatan awal dilakukan di lapangan. Haiwan liar yang dilindungi itu kemudian dipindahkan ke NWRC," katanya.

Beliau berkata, rawatan awal untuk masalah kecederaan mulut haiwan itu diberikan pada Ogos 2019.

"Pemeriksaan susulan dilakukan pada September dan November 2019. Tindakan pantas diambil membolehkan kecederaan pada mulut beruang itu disembuhkan.

"Namun masalah gigi pada beruang matahari terbabit memerlukan rawatan lanjut.

"Pemeriksaan penuh gigi dilakukan baru-baru ini membabitkan rawatan susulan dan prosedur mencabut gigi taringnya yang rosak. Bagaimanapun kami dalam proses mendapatkan bantuan pakar gigi," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan gigi Beruang Matahari itu adalah salah satu aktiviti di bawah Program Konservasi Beruang Matahari bersama FGV Holdings Berhad, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysian Nature Society (MNS).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 7:01 AM