LAPORAN eksklusif Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN eksklusif Harian Metro sebelum ini.
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Dua anggota polis dari Balai Polis Kuah, Langkawi ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah di pulau peranginan itu.

Dua suspek berusia 33 tahun itu ditahan sekitar jam 9 malam 7 September lalu.

Menurut sumber, dua suspek terbabit ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

"Tindakan itu diambil terhadap mereka kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah di Langkawi.

"Pembabitan dua anggota polis itu dalam mengedar atau melindungi sindiket dadah di Langkawi sedang disiasat," katanya.

Harian Metro kini sedang menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan pengesahan.

Penahanan kedua-dua anggota polis terbabit dipercayai berkaitan laporan khas secara bersiri yang didedahkan akhbar ini bermula 3 September lalu.

Harian Metro mendedahkan kegiatan penagihan dan penjualan dadah membabitkan tokan kecil yang didakwa dikawal anggota polis serta konconya dengan didalangi Mr N di Langkawi.

Pendedahan itu mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mengakui beliau menyedari kegiatan berkenaan, namun memberitahu pihaknya sudah mengambil beberapa langkah drastik bagi mengatasinya.

Dalam laporan itu, Harian Metro mendedahkan Mr N mewujudkan rangkaian dadah sendiri dan bersekongkol dengan tokan besar yang digelar Pablo Escobar Langkawi.

Mr N didakwa melindungi kegiatan Escobar Langkawi dan menyusun tangkapan pendatang baharu dalam kegiatan penyeludupan dadah bagi menutup mulut penduduk setempat.

Sebaliknya dadah diseludup dari Thailand milik Escobar Langkawi dibiarkan lolos untuk dipasarkan di pulau peranginan terkemuka itu sebelum Mr N dan konconya beroleh 'dana' diberikan pengedar dadah terbabit.

Umur Escobar Langkawi tidak panjang apabila dia dilaporkan maut dalam kebakaran yang turut meragut nyawa isteri dan anak lelakinya berusia enam tahun.

Persoalan punca kematian Escobar Langkawi itu pada April 2019 juga menjadi tanda tanya susulan siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) mendapati ada unsur jenayah dalam kebakaran terbabit, namun polis hanya mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut (SDR).

JBPM dilapor sudah menyerahkan siasatan punca kebakaran yang antara lainnya menemui 'multiple fire origin' di lokasi kejadian yang menguatkan dakwaan kematian tokan dadah terbabit juga satu konspirasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 1:58 PM