GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kes Covid-19 kembali turun dua angka apabila mencatatkan 24 kes baharu sehingga 12 tengah hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini sebanyak 9,583 kes dengan jumlah kes aktif 312 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 24 kes baharu yang dilaporkan, enam adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan tiga warganegara dan tiga bukan warganegara.

Menurutnya, enam kes import itu adalah dari Bangladesh (dua kes, masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); China (satu kes di Sabah); Indonesia (satu kes di Sabah); Singapura (satu kes di Sarawak); dan Korea Selatan (satu kes di Selangor).

"(Bagaimanapun) Kes import yang membabitkan bukan warganegara sudah memasuki Malaysia sebelum pelaksanaan sekatan kemasukan yang berkuat kuasa 7 September lalu.

"Dua kes dari Bangladesh tiba di Malaysia pada 6 September dan disaring pada hari sama, manakala satu kes dari China tiba di Malaysia pada 5 September dan disaring pada 6 September," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, keputusan ujian saringan mereka dilaporkan positif Covid-19 hari ini.

Menurutnya, begitu juga dengan beberapa kes import yang dilaporkan semalam.

Beliau berkata, daripada 18 kes penularan di dalam negara, 16 dalam kalangan warganegara dan dua bukan warganegara.

Mengenai perincian kes di Kedah, 13 kes adalah daripada Kluster Sungai, dan masing-masing satu kes daripada Kluster Tawar; Kluster Telaga serta saringan bergejala di Hospital Sultanah Bahiyah.

"Sementara di Sabah dua kes daripada Kluster Benteng LD dilaporkan.

"Terdapat tujuh kes pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang sudah pulih sepenuhnya sebanyak 9,143 kes (95.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

"Sehingga kini, terdapat tujuh kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini.

Justeru, katanya, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 128 kes (1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 5:56 PM