Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: Kes Covid-19 mencatatkan 45 kes baharu sehingga 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini sebanyak 9,628 kes dengan 333 kes aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 45 kes baharu, satu kes import dilaporkan di negeri Selangor, iaitu warganegara Malaysia yang pulang dari negara Brazil.

Menurutnya, daripada 44 kes penularan di dalam negara, 11 kes dalam kalangan warganegara Malaysia dan 33 kes membabitkan bukan warganegara.

"Perincian kes adalah di Kedah membabitkan empat (4) kes iaitu satu kes daripada Kluster Sungai, dua kes daripada Kluster Telaga dan satu kes saringan bergejala di Klinik Kesihatan Simpang Kuala.

"Beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah manakala di Sabah, 40 kes daripada Kluster Benteng LD, yang mana 33 kes membabitkan bukan warganegara," katanya pada sidang media Covid-19, di sini, hari ini.

TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Arkib NSTP
TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Arkib NSTP

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, ada 24 kes pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang sudah pulih sepenuhnya sebanyak 9,167 kes (95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

"Sehingga kini, sembilan kes positif Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

"Tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini, justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 128 kes, 1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 5:36 PM