Keratan laporan sebelum ini.
Keratan laporan sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Bukan niat saya datang ke Bangi dari Johor semata-mata untuk mencari 'kembar' kereta itu, saya ada urusan lain. Pertemuan dengan kereta itu adalah secara kebetulan," kata pemilik kereta Mazda 6 yang tular di media sosial sejak semalam.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Jo, 40-an, itu berkata, dia dimaklumkan oleh anak saudaranya mengenai kewujudan 'kembar' keretanya, dua minggu lalu.

"Anak saudara saya yang menetap di Bangi memaklumkan ada terserempak dengan kereta itu di sana dan menyangka itu saya. Dia bertanya kenapa saya tidak singgah ke rumahnya ketika itu.

"Bingung sekejap saya kerana ketika itu saya berada di Kuantan bersama isteri untuk menguruskan hal pembelajaran anak.

"Berdasarkan maklumat diberikan anak saudara termasuk gambar kereta terbabit, saya membuat laporan polis pertama di Johor Bahru untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jo yang membeli keretanya di sebuah bilik pameran di Johor pada 2016 berkata, dia singgah ke rumah anak saudaranya di Bangi pada Ahad lalu kerana ada urusan lain dan menegaskan bukan semata-mata mahu menjejak kereta yang sama model dengan miliknya.

"Anak saudara kemudian mengajak saya ke lokasi untuk melihat kereta itu, sebelum kami menemuinya di kawasan tempat letak kenderaan terbabit dan menghubungi pihak polis.

"Saya ada juga bertanya kepada penduduk sekitar kawasan itu mengenai kereta berkenaan, namun mereka mendakwa tidak kenal dengan pemiliknya," katanya yang memberitahu laporan polis kedua dibuat di Balai Polis Bandar Baru Bangi.

Lelaki itu juga tidak menyangka pertemuan 'kembar' itu tular di media sosial termasuk gambar dimuat naik bersama dakwaan dia menerima banyak saman disebabkan kereta itu.

Katanya, dia mengakui menerima saman terutama kesalahan memandu laju tetapi tidak sedar sama ada kesalahan itu dilakukannya sendiri atau kenderaan berkenaan.

"Saya tidak pernah memuat naik di mana-mana platform media sosial berhubung perkara ini, namun tiba-tiba ia menjadi tular termasuk dakwaan saya menerima banyak saman kerana kereta terbabit.

"Semua saman itu pun sudah saya selesaikan kerana mahu memperbaharui cukai jalan yang tamat tempoh pada Mei lalu.

"Jika difikirkan memang pelik apabila ada kereta yang bukan sahaja sama fizikalnya, tetapi juga sama nombor pendaftaran dan tarikh tamat tempoh cukai jalan," katanya.

Jo menyerahkan perkara itu untuk siasatan polis.

Berita berkaitan

Kereta curi, bukan kereta klon: Polis

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 8:20 PM