Norzamira Che Noh


Shah Alam: Suspek yang melanggar pegawai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Persiaran Mokhtar Dahari pada 18 September lalu berjaya ditahan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek warga Indonesia berusia 35 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota IPD Shah Alam di Petaling Jaya.

"Susulan kejadian pegawai trafik IPD Shah Alam dilanggar lari oleh dua suspek yang menaiki sebuah kereta pada pagi 18 September lalu, satu pasukan tindakan khas ditubuhkan untuk mengesan mereka.

"Pasukan berkenaan berjaya mengesan suspek di sekitar sebuah pangsapuri di Petaling Jaya dan suspek ditahan jam 7 malam tadi.

"Polis turut merampas Proton Wira yang dinaiki suspek pada hari kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek dipercayai lari dari SJR berikutan visa perjalanan sudah tamat tempoh manakala seorang lagi rakannya yang turut berada dalam kenderaan itu sedang dikesan.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 serta 307 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, dalam kejadian pada jam 8.10 pagi itu, mangsa, Ismail Aun, 55, cedera di kaki kanan selepas motosikalnya dilanggar dari belakang oleh kereta yang melarikan diri daripada pemeriksaan trafik.

Mangsa ketika itu dalam perjalanan ke bulatan Puncak Perdana selepas menerima aduan kesesakan trafik di kawasan berkenaan.

Berita berkaitan

Pegawai trafik cedera dilanggar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 12:05 PM