NAFI hanya mahu berlakon filem aksi.
NAFI hanya mahu berlakon filem aksi.
Sudirman Mohd Tahir


SELEPAS laris di layar perak menerusi filem aksi, kemunculan pelakon, Hairul Azreen di kaca TV boleh dikira dengan jari.

Jika ada pun, Hairul, 32, atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris sekadar membuat kemunculan istimewa.

Namun, tawaran diterima daripada syarikat A Aida Production menerusi telefilem Kain Kapan Berbisik membuka hati Hairul untuk berlakon dalam cerita itu.

"Diakui memang sudah lama tak berlakon telefilem. Apabila dapat tawaran ini ia kena pula dengan masa dan jadual saya. Tambahan pula pelakon, pengarah dan produksi semuanya menarik.

"Apabila saya dipanggil ke pejabat, saya bertanya juga cerita apa. Selepas baca skrip, saya terus suka. Sebab dalam telefilem ini elemen dan 'plot twist' yang diketangahkan sangat menarik," katanya.

Menurut Hairul yang popular menerusi filem Paskal, keputusan untuk berlakon dalam telefilem arahan Nazir Jamaluddin itu bukan untuk mengisi masa terluang.

"Ini bukan mengisi masa lapang, tapi ini punca rezeki saya sebagai pelakon. Dalam masa sama, saya nak juga berkongsi pengalaman bersama pelakon lain seperti Ummi Nazeera yang mana kami pertama kali berlakon bersama.

"Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini adalah projek pertama saya. Kiranya agak lama juga. Sebab hujung tahun baru saya ada satu filem aksi. Itu saya mula berlatih bulan depan.

"Ini bukan filem unit beruniform, tapi filem aksi saja. Lebih kurang macam filem Wira juga," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai pembabitannya dalam filem aksi, Hairul bersyukur apabila usaha dan kerja keras ke arah itu kian mendapat perhatian.

Bagi Hairul, dia tidak kisah jika perlu bekerja lebih semata-mata untuk menjayakan watak diberikan demi mendapatkan hasil terbaik.

"Buat filem aksi menuntut komitmen besar. Saya kalau nak buat biar ia berbaloi. Jadi saya cuba, sebab saya minat. Saya banyak rujuk pada Hollywood yang mana mereka diberi masa enam bulan persiapan sebelum filem.

"Mungkin untuk filem kita tak dapat peluang itu. Jadi, saya buat inisiatif sendiri dengan pergi berlatih dan buat badan," katanya.

Hairul tak kisah perlu bekerja lebih semata-mata mahu hidupkan watak aksi terbaik
Hairul tak kisah perlu bekerja lebih semata-mata mahu hidupkan watak aksi terbaik

Permintaan tinggi

Tidak dinafikan, kejayaan filem Paskal sekali gus membawa nama Hairul ke puncak. Ia sekali gus menjadikan nama Hairul antara pelakon yang mendapat permintaan tinggi dalam melakonkan filem aksi.

Tidak hanya itu, pembabitan Hairul juga mendapat bayaran lumayan sesuai de

ngan komitmen diberikan.

"Alhamdulillah, orang pandang saya sebagai hero aksi selepas filem Paskal. Cuma dari segi lain, saya tak tahu. Saya tak nampak perkara itu. Apa saya buat adalah, apabila dapat sesuatu projek, saya akan fokus. Tapi, alhamdulillah ada saja rezeki itu sebab saya minat.

"Saya bermula dengan bidang lagak ngeri dan kemudian menyertai program Fear Factor untuk tunjuk pada orang yang saya boleh buat aksi. Tapi, tak menjadi.

"Tapi, apabila dapat filem Paskal, saya puas hati sebab sampai hari ini filem itu masih diperkatan selain mendapat kutipan tertinggi filem patriotik. Jadi, ia satu kepuasan untuk saya," katanya.

Hairul juga berkongsi, pembabitannya dalam filem aksi Wira yang ditayangkan tahun lalu juga berjaya memperkenalkan bakatnya ke luar negara.

Dalam masa sama, Hairul menafikan dia hanya mahu berlakon filem aksi.

"Dulu saya pernah berlakon filem cinta, remaja, komedi dan lain-lain. Jadi, saya sudah buat hampir semua genre. Mungkin ada orang kenal saya ketika berlakon dalam Paskal. Selepas Paskal saya buat Polis Evo 2 dan Wira.

"Jadi, orang nampak saya buat aksi saja. Mungkin mereka tak kenal saya sebelum itu. Tapi, tak apa sebab saya tahu diri sendiri yang mana ada fokus, sasaran dan impian. Impian saya nak ke Hollywood.

"Alhamdulillah, Wira menaikkan nama filem kita dan saya sendiri. Malah, beberapa pelakon, pelakon lagak negeri dan 'stand in' Hollywwod sudah 'follow' saya di IG. Saya rasa macam satu pencapaian untuk saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 6:00 AM