ABDUL Kahar kembali aktif menyebarkan ajaran sesat yang difatwakan haram pada  1991. FOTO Ihsan JAIS
ABDUL Kahar kembali aktif menyebarkan ajaran sesat yang difatwakan haram pada 1991. FOTO Ihsan JAIS
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Selepas sehari ditahan, Abdul Kahar Ahmad yang mendakwa dirinya sebagai 'Rasul Melayu' dan menyebarkan ajaran difatwakan sesat pada 1991 dibebaskan dengan bon jaminan mahkamah hari ini.

Selain Abdul Kahar, tiga lagi pengikutnya yang berusia lingkungan 30-an hingga 70 tahun turut dibebaskan, manakala 13 lagi pengikut ajaran 'Haji Kahar Bin Ahmad' itu masih ditahan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pembebasan empat individu itu membabitkan dua lelaki dan dua wanita dilakukan selepas mereka memenuhi syarat jaminan yang dibenarkan dengan rayuan dikemukakan dan diberikan Bon Jamin mahkamah.

"Keempat-empat mereka diarah melapor diri setiap dua minggu ke pejabat agama terdekat, JAIS akan mendapatkan maklumat butiran diri kesemua penjamin daripada mahkamah untuk siasatan lanjut.

"Manakala, 13 individu yang masih disiasat gagal untuk memenuhi syarat jaminan mahkamah dan masih ditahan," katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, semalam JAIS mengemukakan afidavit kepada Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam di hadapan Hakim [email protected]. Nizar Mohtar bagi mengemukakan fakta kes.

"JAIS juga memohon jaminan oleh mahkamah terhadap semua orang yang disiasat dengan syarat jaminan ketat dari seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam gred Turus 3, RM5,000, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan paling rendah dengan seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam gred JUSA C, RM3,000, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

"Syarat jaminan kepada individu yang mendakwa dirinya sebagai 'Rasul Melayu' disyor untuk diketatkan berdasarkan individu ini pernah lari dari jaminan sehingga Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menawarkan ganjaran RM20,000 bagi sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga ditangkap dan individu yang memberi maklumat diberikan ganjaran seperti dijanjikan, "katanya.

Beliau berkata, tahanan lelaki yang masih disiasat ditahan di Penjara Sungai Buloh, manakala bagi perempuan ditahan di Penjara Kajang.

"Bagi orang yang disiasat berusia di bawah usia 21 tahun, mereka ditahan di Pusat Koreksional, Puncak Alam (dua lelaki) dan Pusat Koreksional, Penjara Kajang (seorang wanita)," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan 'Rasul Melayu' yang kembali aktif menyebarkan ajaran yang difatwakan diharamkan pada 1991 ditahan bersama 16 pengikutnya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di tiga lokasi berbeza, di sini, malam Ahad lalu.

Abdul Kahar Ahmad bersama 16 pengikutnya yang berusia lingkungan 14 hingga 70 tahun ditahan di tiga rumah di Kemensah di Ulu Klang, Sungai Long di Kajang dan Keramat, Kuala Lumpur dalam satu Operasi Khas Penguatkuasaan JAIS ke atas kumpulan itu.

Berita berkaitan

Ajaran sesat 'Rasul Melayu' kembali aktif [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 9:44 PM