WANITA Melayu memayungi wanita warga emas India ketika berbaris memasuki sebuah bank di Menglembu, Perak, tular di media sosial, hari ini.
WANITA Melayu memayungi wanita warga emas India ketika berbaris memasuki sebuah bank di Menglembu, Perak, tular di media sosial, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Saya amat terharu apabila masih ada individu berhati mulia membantu insan lemah seperti nenek saya walaupun berlainan bangsa," kata jururawat sebuah klinik swasta, M Privitha, 21.

Terdahulu, Privitha memuat naik status berserta gambar seorang wanita Melayu 'memayungi' neneknya, A Letchumi, 78, menggunakan fail ketika berbaris untuk memasuki sebuah bank di Menglembu, Perak, semalam.

Status itu tular di media sosial dan mendapat banyak reaksi positif warganet dengan lebih 1,800 komen serta 23,000 perkongsian, hari ini.

Menceritakan semula peristiwa itu, Privitha berkata, neneknya ditemani sepupunya ke bank berkenaan untuk mengambil wang pencen pada 11 pagi.

Bagaimanapun katanya, sepupunya tidak dapat menemani neneknya kerana terpaksa menjaga dua anak kecilnya termasuk bayi berusia dua bulan di dalam kereta.

"Ketika nenek berbaris, sepupu saya melihat ada seorang wanita Melayu sedang memegang fail untuk memayungi nenek. Difahamkan kira-kira 30 minit nenek berbaris di luar bank berkenaan dan sepanjang tempoh itu, wanita berkenaan tetap 'setia' memayunginya.

"Namun, sepupu saya tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada wanita itu kerana dia tidak boleh meninggalkan dua anaknya sendirian di dalam kereta," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Privitha berkata, dia mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada wanita itu di Facebook dengan memuat naik gambar peristiwa berkenaan kerana terkilan tidak dapat berjumpa dengannya.

"Tujuan saya memuat naik status itu adalah untuk mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada wanita berkenaan kerana bertindak sedemikian.

"Sejujurnya, agak sukar untuk kita melihat kebaikan seseorang terhadap insan lemah seperti nenek saya apatah lagi apabila berbeza bangsa dan agama walaupun apa yang dilakukannya itu mungkin perkara kecil," katanya.

Mengulas mengenai status berkenaan yang tular, dia mengakui sedikit terkejut dengan reaksi warganet yang rata-ratanya memberi komen positif terhadap peristiwa itu.

"Ada banyak komen yang saya terima pada status berkenaan daripada individu pelbagai latar belakang bangsa.

"Malah, ada seorang wanita meninggalkan komen pada status itu memaklumkan bahawa dia adalah individu yang memayungi nenek saya," katanya. .

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 7:56 PM