Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasmi membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hari ini dengan 38 kerusi.

GRS yang dianggotai Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) pula mendapat 14 kerusi seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) dapat menawan tujuh kerusi.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh di Wisma Persekutuan, di sini, malam ini.

Beliau berkata, Parti Warisan Sabah (Warisan) memenangi 29 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang dua kerusi seterusnya Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hanya satu kerusi.

"Calon bebas pula memenangi tiga kerusi," katanya dalam sidang media, hari ini.

ISTANA negeri.
ISTANA negeri.

Abdul Ghani berkata, sehingga 5 petang semalam, 66.6 peratus atau 739,083 pengundi keluar menunaikan tanggungjawab.

Katanya, walaupun rendah berbanding sasaran awal iaitu 70 hingga 75 peratus namun SPR berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan rakyat di sebalik penularan Covid-19 di pantai timur Sabah.

"Kelewatan pengumuman keputusan penuh malam ini disebabkan masalah pada sistem yang menyebabkan proses kemasukan data rasmi tertangguh selama 25 minit.

"Secara keseluruhan, SPR berpuas hati dengan perjalanan PRN Sabah kali ini kerana pematuhan yang tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19," katanya.

SPR juga berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit untuk memastikan PRN Sabah berjalan lancar.

Keputusan terkini MyUndi • Klik di sini untuk berita lanjut

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 1:34 AM