DR Noor Hisham. FOTO Bernama
DR Noor Hisham. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan tiga kluster baharu iaitu Kluster Setapak di sini, serta Kluster Buang Sayang dan Kluster Kampung Sakong di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Buang Sayang dikenal pasti di Sipitang, Sabah membabitkan kes indeks ke-10,265.

"Kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sipitang, Sabah dari 7 hingga 20 September lalu dan mula mengalami gejala demam, selesema dan sakit tekak pada 19 September sebelum dimasukkan ke pusat perubatan dan disahkan positif Covid-19, 20 September lalu.

"Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan. Sehingga kini seramai 10 individu sudah disaring, empat daripadanya positif dan enam masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Kampung Sakong pula dikenal pasti di Semporna, Sabah menerusi kes indeks ke-10,154 yang dikesan positif Covid-19 melalui saringan komuniti.

"Kes tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan. Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat sudah dijalankan.

"Sehingga kini seramai 66 individu disaring, sembilan dikesan positif dan 57 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Menurutnya, satu kluster baharu turut dikesan di ibu kota iaitu Kluster Setapak yang dikenal pasti di Setapak menerusi kes indeks ke-10,689 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah dari 17 hingga 20 September lalu.

"Kes mula mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak, sakit otot dan cirit-birit sejak 21 September sebelum dimasukkan ke pusat perubatan pada 25 September sebelum disahkan positif Covid-19.

"Dia dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB), Selangor. Dua lagi kes positif yang dikesan adalah rakan serumah (iaitu kes ke-10,770) dan rakan (iaitu kes ke-10,771) kepada kes indeks. Mereka turut dimasukkan ke HSB," katanya.

Katanya, susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat sudah dijalankan.

"Sehingga kini, seramai 20 individu sudah disaring, tiga positif Covid-19, 16 negatif dan satu masih menunggu keputusan.

"Langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan sedang dijalankan di semua lokasi dikenal pasti bagi semua kluster berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 8:14 PM