BENCANA tsunami dan likuifaksi yang meragut nyawa ribuan penduduk Palu, dua tahun lalu.
BENCANA tsunami dan likuifaksi yang meragut nyawa ribuan penduduk Palu, dua tahun lalu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Dua tahun sudah berlalu namun kasih sayang rakyat Malaysia terhadap mangsa tsunami dan pencairan tanah (likuifaksi) di Palu serta Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia terus mengalir hingga kini.

Tragedi yang mengorbankan 2,113 nyawa pada tanggal 29 September 2018 itu turut memusnahkan 66,926 kediaman di wilayah berkenaan.

Biarpun bencana luar biasa ini kian dilupai namun sumbangan dana kemanusiaan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia masih disalurkan tanpa henti. Harapan mangsa terus didengar dan dipenuhi.

Ketua pasukan misi Mercy Malaysia ke Palu, Norazam Abu Samah berkata, warga Palu yang menjadi mangsa gempa bumi itu tidak pernah dilupakan, malah pihaknya sentiasa berhubung dan mendapatkan maklumat terkini penduduk Palu yang diberikan bantuan sebelum ini.

Menurutnya, Mercy Malaysia antara NGO terawal tiba di lokasi bencana, tidak sekadar menghantar pasukan perubatan dan memberikan bantuan makanan diperlukan ketika itu.

"Sebaliknya kami memikirkan keperluan lebih mendesak iaitu rumah sementara untuk didiami ribuan mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

"Susulan itu, Mercy Malaysia berusaha membina penempatan sementara di Jalan Diponegoro, Palu yang dilengkapi 205 kediaman lengkap 33 tandas, 22 unit tempat mandi umum, sebuah sekolah rendah, sebuah tadika, sebuah surau dan enam wakaf untuk kegunaan penghuni," katanya yang menyertai misi kemanusiaan Mercy Malaysia sejak 20 tahun lalu.

"Penempatan Hunian Antara Lere dibina itu terletak dua kilometer dari tapak asal kampung mangsa di antara Masjid Terapung Palu dan Jambatan Kuning Kota Palu yang musnah ditelan gelombang tsunami," katanya.

SUKARELAWAN  Malaysia kerap mengunjungi Palu, Sulawesi untuk menyalurkan bantuan berterusan kepada mangsa.
SUKARELAWAN Malaysia kerap mengunjungi Palu, Sulawesi untuk menyalurkan bantuan berterusan kepada mangsa.

Sebagai arkitek yang membina pelan penempatan itu, Norazam memberitahu, fasa awal bantuan disalurkan lebih memfokuskan kemudahan infrastruktur berikutan kebimbangan pihak pemerintah Indonesia berdepan kesulitan untuk membina rumah baharu dalam tempoh segera.

"Lokasi seluas 1.6 hektar dibangunkan Mercy Malaysia itu menjadi penempatan sementara selesa untuk lebih 1,000 mangsa yang hilang tempat tinggal.

"Sejak itu pasukan Mercy Malaysia sentiasa berulang alik ke Palu, Sulawesi bagi melihat perkembangan selain menyalurkan bantuan berterusan kepada mangsa di sana.

"Kali terakhir kunjungan kerja dilakukan kami pada 13 Mac lalu sebelum pandemik Covid-19 menyebabkan pintu sempadan negara ditutup," katanya.

Norazam yang mesra dengan panggilan Pak Azam memberitahu, Mercy Malaysia berjaya membangunkan program keusahawanan dan latihan industri kecil bagi membolehkan penduduk menjana semula ekonomi setempat.

"Melalui bantuan dana sumbangan rakyat Malaysia, golongan wanita di sana kini aktif menjalankan perusahaan menghasilkan serunding ikan untuk diniagakan.

""Malah, kami turut menyumbangkan mesin jahit bagi membolehkan kaum wanita yang mendiami Penempatan Hunian Antara Lere menghasilkan produk kraftangan dan beg tangan," katanya.

Menurutnya, latihan dan bimbingan berterusan itu membolehkan warga Palu bangkit semula untuk memulakan kehidupan baru serta melupakan trauma dialami akibat bencana besar yang berlaku itu.

"Keprihatinan dipamerkan rakyat Malaysia secara berterusan ini bukan hanya merapatkan hubungan dua negara malah berjaya memastikan aspek sosio ekonomi dan kebajikan mangsa bencana itu dipulihkan," katanya yang pernah terbabit dengan misi kemanusiaan di Aceh, Afganistan, Sri Lanka, Myanmar dan banyak negara lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 6:35 AM