ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersedia di hadapan pintu ketibaan untuk melakukan sanitasi kepada para penumpang penerbangan yang baharu tiba di KLIA. FOTO BERNAMA
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersedia di hadapan pintu ketibaan untuk melakukan sanitasi kepada para penumpang penerbangan yang baharu tiba di KLIA. FOTO BERNAMA
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Ribuan penumpang yang baru tiba dari Sabah menunggu lebih enam jam bagi menjalani saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Azizul Osman, berkata dia tiba di KLIA jam 6.45 petang Ahad lalu dari Kota Kinabalu bersama hampir 150 penumpang yang lain.

Katanya, semua penumpang diarah keluar melalui pintu antarabangsa namun selepas hampir 30 minit beratur, dia tidak menerima sebarang arahan.

"Masa tu memang tiada penjarakan fizikal kerana terlampau ramai orang, selepas sejam beratur baru kami diberikan borang dan diminta beratur lagi.

"Pada jam 9.17 malam baru dapat arahan beratur bagi membuat ujian saringan Covid-19. Pada ketika itu hanya ada empat kaunter saringan.

"Selepas selesai ujian saringan, kami menunggu lagi sehingga nama dipanggil dan saya dipanggil jam 12 tengah malam," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Azizul berkata, ada antara penumpang yang secara sukarela membantu memanggil nama sebelum menjalankan ujian saringan.

Sementara itu, seorang lagi penumpang, Sulaiman Yeop, 61, berkata, dia tiba di KLIA jam 12 tengah malam Ahad dari Kota Kinabalu dan selesai menjalani ujian saringan jam 6 pagi semalam.

"Sebaik tiba, kami diminta berada di dalam ruang legar dan hanya dipanggil pada jam 3.30 pagi untuk ke kawasan pemeriksaan.

"Semua penumpang dibawa ke kawasan pemeriksaan mengikut penerbangan, maknanya penerbangan sebelum kami diminta membuat pemeriksaan dahulu dan selepas habis baru diminta ke lokasi seterusnya.

"Ini bagi mengelakkan lebih ramai penumpang di kawasan pemeriksaan dalam satu-satu masa. Petugas kesihatan ada 10 orang, tetapi itu pun tidak cukup.

"Jika ditambah kaunter pemeriksaan, mungkin dapat mengelakkan penumpang menunggu terlalu lama untuk membuat pemeriksaan," katanya.

Sulaiman berkata, selepas menjalani ujian calitan, beliau diminta menunggu lagi bagi memakai gelang kuarantin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 6:30 AM