LAPORAN eksklusif Harian Metro 4 September lalu (gambar kecil) dan Huzir Mohamed (kanan). FOTO Arkib NSTP
LAPORAN eksklusif Harian Metro 4 September lalu (gambar kecil) dan Huzir Mohamed (kanan). FOTO Arkib NSTP
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Susulan laporan khas akhbar ini bertajuk Konspirasi atau Tragedi yang disiarkan pada 4 September lalu, Bukit Aman kini mengklasifikasikan kematian tiga beranak dalam kebakaran di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa di Langkawi, sebagai kes bunuh.

Untuk rekod, kebakaran yang berlaku 1 April 2019 itu mengorbankan pasangan suami isteri, Mohd Nahar Suhami, 39, dan Nor Suhaila Ahmad, 41 serta anak lelaki mereka, Mohd Naufal Mohd Nahar, 6.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam sidang medianya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan masih dalam siasatan pihaknya.

"Pada mulanya dia (kes) SDR (kematian mengejut) kemudian selepas pihak bomba memaklumkan ada unsur jenayah, kita buka kertas siasatan kepada (Seksyen) 302 (Kanun Keseksaan).

"Ia masih dalam siasatan, Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan JSJ, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid akan ke Langkawi minggu depan.

"Ini salah satu langkah ambil untuk semak semula siasatan dahulu," katanya.

Ditanya sudahkah pihaknya mengenalpasti pelaku dalam insiden itu, Huzir berkata, sehingga kini Polis Kontinjen Kedah belum mengenalpasti suspek.

"Sekiranya Kedah kenal pasti akan maklum kepada saya," katanya.

Pada 4 September lalu, dalam laporan khas siri kedua Harian Metro melaporkan kematian Pablo Escobar Langkawi dalam kes kebakaran di kediamannya 1 April 2019 adalah satu misteri yang dipercayai kemungkinan terdapat unsur jenayah.

Laporan itu mendedahkan, berdasarkan siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak berkenaan menemui sisa petrol dalam rumah berkenaan dan ia sekali gus menolak kemungkinan kebakaran disebabkan litar pintas.

Seorang pegawai bomba yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, pegawai penyiasat sudah melengkapkan siasatan dan hasilnya juga diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut termasuk salinan kepada Ibu Pejabat JBPM di Alor Setar dan Putrajaya.

"Siasatan semua dah lengkap, serah kepada mereka untuk ambil tindakan lanjut kerana kita dapati terdapat unsur khianat, jenayah dalam kebakaran itu.

"Pasukan siasatan JBPM menemui petrol yang dibakar dan siasatan amat pasti ia bukan kerana litar pintas.

"Kita dah serah laporan kepada pasukan forensik mereka sepatutnya siasat. Kita (bomba) buat punca siasatan dan macam saya cakap tadi memang ada unsur jenayah, bomba kesan multiple fire origin termasuk penggunaan petrol di beberapa bahagian rumah itu," katanya.

Katanya, namun dua lagi mangsa iaitu anak dan isteri lelaki itu maut akibat lemas kerana asap.

Berita berkaitan:

  • Mat Salam tumpas, Mapler ghaib
  • Perlu operasi bersepadu banteras dadah, judi

    Bersihkan Langkawi daripada unsur negatif - PPMM

    Siasatan kes dadah di Langkawi dibuat secara menyeluruh

    Lindungi sindiket dadah: Dua polis ditahan

    Langkah drastik atasi kartel di Langkawi

    Bebaskan bumi Langkawi dari dadah

    'Jangan tuding jari pada satu pihak' - Ketua Pengarah AADK

    PDRM jamin siasat kes dengan telus - Ketua Pengarah AADK

    Rakyat sedang perhatikan kita!

    Rakyat sedang perhatikan kita!

    Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 3:00 PM