Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Jujurnya, saya 'anti' dengan TikTok tetapi rakan minta saya ubah persepsi dan jadikan aplikasi itu sebagai medium dakwah," kata penulis buku dan penceramah motivasi, Nur Izzati Elya Alfian.

Nur Izzati, 22, mencuri tumpuan warganet apabila pendekatan dakwah secara berhemah kepada komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) di aplikasi TikTok melalui video pendek dimuat naiknya baru-baru ini meraih tontonan tinggi dan menerima maklum balas positif daripada sebilangan besar warganet .

Penuntut Ijazah Dakwah dan Pengurusan Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan itu juga mengakui tidak menyangka video di muat naik kelmarin itu diterima baik komuniti LGBT dari dalam dan luar negara termasuk dari Indonesia dan Turki.

Bercerita lanjut, Nur Izzati yang berasal dari Banting, Selangor berkata, idea untuk menyampaikan dakwah di TikTok itu tercetus hasil dorongan daripada rakannya yang mahu dia memanfaatkan platform berkenaan.

Menyedari TikTok kian mendapat perhatian golongan muda, Nur Izzati menyahut saranan rakannya walaupun tidak pernah menggunakan aplikasi berkenaan sebelum ini.

"Sebenarnya, saya baru memuat turun aplikasi TikTok pada bulan lalu kerana sejak tahun lalu lebih banyak memuat naik video pendek dakwah di Instagram (IG) dan Twitter.

"Lebih membuatkan saya terpanggil berdakwah di TikTok adalah selepas melihat tanda pagar #tetapbangga di Twitter baru-baru ini yang seolah-olah mengangkat budaya dan ideologi LGBT jadi saya perlu ke depan supaya anak muda tidak terpengaruh,"katanya ketika dihubungi Harian Metro.

VIDEO pendek dakwah Nur Izzati Elya di TikTok mendapat maklum balas positif golongan LGBT dan warganet. FOTO Ihsan Nur Izzati Elya Alfian
VIDEO pendek dakwah Nur Izzati Elya di TikTok mendapat maklum balas positif golongan LGBT dan warganet. FOTO Ihsan Nur Izzati Elya Alfian

Nur Izzati berkata, video itu dirakam pada 1 Oktober lalu sebelum menghadiri jemputan mengadakan ceramah di sebuah sekolah di Johor dengan bantuan beberapa rakannya .

"Mulanya saya mahu sampaikan mesej secara verbal seperti yang dilakukan dalam video sebelum ini tetapi akhirnya melakukan kelainan iaitu dengan mengangkat kertas putih tertera mesej yang ingin disampaikan.

"Saya tidak berseorangan kerana dibantu rakan yang merakam video selain mengolah dan menyunting ayat digunakan supaya bahasa digunakan lebih lembut serta berhemah.

"Saya turut merujuk dengan seorang rakan yang kebetulan sedang melakukan kajian pengajian peringkat sarjana mengenai LGBT bagi mendapatkan pandangan supaya kandungan video dimuat naik itu tidak keterlaluan.

"Video itu dimuat naik video pada hari yang sama iaitu kelmarin dan Alhamdulillah, ia diterima baik. Malah, saya tidak sangka ramai golongan LGBT menghantar kiriman mesej peribadi (DM) di IG untuk mengucapkan terima kasih dan terharu apabila mereka menyatakan keinginan berubah ke arah lebih baik, " katanya.

Di sebalik komen positif, Nur Izzati turut menerima kecaman daripada segelintir golongan LGBT yang tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukannya.

"Sudah tentu ada komen negatif kerana tidak semua sukakannya namun kebanyakannya daripada golongan ekstrem LGBT yang mengajak rakan mereka bersama menghentam saya.

"Mungkin mereka terasa sedangkan mesej dan dakwah saya cuba sampaikan itu secara umum dan sebenarnya khusus kepada golongan LGBT dalam kalangan Muslim saja.

"Apa pun, kecaman itu tidak membuatkan saya berputus asa sebaliknya menguatkan lagi semangat untuk terus berdakwah.

"Lagipun , sejak di bangku sekolah lagi saya aktif dalam kegiatan dakwah dan mahu mempelbagaikan lagi kaedah dan medium digunakan supaya mesej positif sampai kepada semua golongan," katanya yang juga anak sulung daripada lima beradik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 9:30 PM