MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Polis
MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Polis
Erika George


Sibu: Orang ramai dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita berhampiran beg pakaian yang diletakkan di tepi Jalan Aman, di sini, hari ini.

Pada mulanya, orang awam terlihat satu beg besar berwarna hitam yang mencurigakan diletakkan di tepi jalan, lalu bertindak menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, sejurus menerima panggilan pada 6.45 pagi, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian.

"Sampai di tempat kejadian, pemeriksaan mendapati terdapat mayat seorang wanita berhampiran dengan beg itu," katanya.

Setakat ini katanya, identiti wanita itu masih belum dikenal pasti.

"Mayat terbabit kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu untuk bedah siasat," katanya.

Susulan itu katanya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 10:50 AM