Shahruddin bersama isterinya dengan Ford Mustang yang disewanya. Foto Ihsan Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh
Shahruddin bersama isterinya dengan Ford Mustang yang disewanya. Foto Ihsan Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh
Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Selepas tujuh bulan terpisah, seorang isteri dikejutkan suaminya dengan dibawa keluar makan malam menaiki Ford Mustang.

Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 34, menyewa kereta itu khas untuk membawa isterinya Norhariyanti Abu Bakar, 38, dua hari lalu.

Shahruddin yang bekerja di syarikat pengeluaran air minuman di Singapura tidak dapat pulang ke rumahnya di Johor Bharu, Johor berikutan penutupan sempadan sejak tujuh bulan lalu.

Dia yang kembali ke Malaysia pada 3 Oktober sebelum menjalani kuarantin kendiri dan pulang ke rumah keluarganya di Johor Bahru pada 6 Oktober lalu selepas disahkan negatif Covid-19.

Sebelum itu, dia membuat kejutan kepada keluarganya apabila pulang tanpa memaklumkan kepada mereka.

Video pertemuan itu dikongsikan sendiri Shahruddin di akaun Facebook (FBb) miliknya, 6 Oktober lalu.

Videonya itu mendapat perhatian netizen dan meraaih hingga 61,000 tontonan.

"Saya bawa isteri makan malam dengan menaiki Ford Mustang yang disewa khas dua hari lalu sebagai tanda hadiah terima kasih menguruskan anak-anak ketika saya tiada.

"Sepatutnya sewa satu hari kereta berkenaan RM2,000, tetapi saya hanya mampu sewa separuh hari kerana tidak cukup bajet tetapi tidak sangka pula dapat percuma.

"Pemilik kereta beritahu dia tersentuh dan terharu dengan kisah yang saya kongsikan di FB dan ingin menaja penuh kenderaan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Shahruddin, dia merahsiakan kepulangannya ke kampung halaman disebabkan mahu memberi kejutan kepada ahli keluarganya.

"Ibu saya tergamam dan tidak putus-putus mengucapkan syukur kerana sudah pulang memandangkan kali pertama saya berjauhan dengan keluarga.

"Jika diikutkan rutin harian kerja, saya berulang-alik dari rumah ke tempat kerja namun disebabkan penutupan sempadan saya terpaksa menyewa katil bernilai 400 dolar Singapura (RM1,221) sebulan.

"Mujur saya tidak dibuang kerja waktu itu kalau tidak mungkin senasib dengan gelandangan di sana yang dibuang kerja tetapi tidak dapat pulang ke Malaysia," katanya.

Lebih mengharukan, Shahruddin berkata, panggilan video sajalah yang menjadi pengubat rindu kepada keluarganya ketika dia berada di perantauan.

"Saya juga terpaksa meninggalkan anak lelaki pertama saya yang baru saja berusia tiga bulan ketika itu.

"Kedua-dua anak saya seakan tidak mengenali saya kerana mereka masih kecil sewaktu saya meninggalkan rumah," katanya.

Shahruddin berkata, dia bersyukur permohonan cutinya untuk pulang ke tanah air mendapat kebenaran syarikat walaupun terpaksa menanggung kos yang tinggi.

"Saya mengambil cuti selama tiga minggu dan akan kembali semula ke Singapura selepas ini.

"Semua kos termasuk ujian saringan Covid-19 dan hotel untuk kuarantin selepas balik semula ke Singapura memakan belanja hampir 1,236 dolar Singapura (RM3,775.23)," katanya.

Shahruddin berkata, dia akan memanfaatkan cutinya bersama seluruh ahli keluarganya sebelum pulang bertugas di republik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 9:00 PM