KERTAS siasatan dibuka terhadap Ganesparan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan. FOTO Ihsan Polis
KERTAS siasatan dibuka terhadap Ganesparan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan berhubung satu kenyataan menghasut membabitkan seorang lelaki menerusi satu rakaman video yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, video berdurasi satu minit 33 saat itu mempunyai kecenderungan menghasut (untuk menanam kebencian) terhadap raja dan kerajaan.

"Kami mengenal pasti sebagai Ganesparan Nadaraja berusia 38 tahun yang beralamat terakhir di P-1-5 RH Pangsa Flat MPS Jalan Tan Sri Manickavasagam, Seremban di Negeri Sembilan.

"Siasatan dilakukan mendapati lelaki itu kini berada di luar negara sejak November 2017, malah suspek turut dikehendaki untuk tiga kes lain berkaitan ugutan dan hasutan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan.

"Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

"Kami akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang cuba menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 12:35 AM