KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengalu-alukan orang ramai menyalurkan sumbangan tunai menerusi akaun khas Covid-19 yang sudah diaktifkan semula.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengaktifan semula akaun itu berikutan peningkatan kes sejak bulan lalu dan menampung keperluan untuk kegunaan petugas barisan hadapan dalam memerangi Covid-19 ketika ini.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata , orang ramai boleh menyumbang ke akaun RHB Bank bernombor 2-66016-0002347-5 atas nama 'Sumbangan Perubatan KKM'.

"Selain wang tunai, kami turut menjemput seramai mungkin sukarelawan sama ada individu atau daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turun padang sebagai petugas kesihatan awam dan perubatan.

"Permohonan menjadi sukarelawan boleh dihantar ke [email protected] atau mengisi 'Google Form' di pautan http://bit.ly/34ldvMk," katanya.

Kelmarin, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dalam satu kenyataan media berkata, susulan pengaktifan semula akaun khas Covid-19, Kementerian Kewangan meluluskan kemudahan potongan cukai bagi sumbangan tunai ke akaun itu selaras Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau berkata, KKM tidak melantik pihak atau ejen bagi melaksanakan kutipan sumbangan tunai bagi kementerian itu.

"Pengaktifan semula akaun khas itu berikutan permintaan pelbagai pihak ingin membuat sumbangan tunai kepada kementerian ini susulan peningkatan kes Covid-19 sejak akhir September lalu.

"Sehingga 30 September lalu, sebanyak RM30,597,202.81 daripada jumlah sumbangan itu diluluskan untuk dibelanjakan Jawatankuasa Akaun Amanah KKM bagi membeli alat kelengkapan perubatan seperti ventilator, infra-red thermometer, ultrasound, katil pesakit, patient monitor dan reagen untuk ujian COVID-19 serta proses penghantaran pegawai KKM ke Sabah.

"Baki sumbangan tunai akaun itu kini berjumlah RM1,074,700.46. Sebarang pertanyaan dan pemakluman mengenai sumbangan tunai di bawah akaun amanah itu boleh menghubungi talian 03-88833111 atau melalui e-mel [email protected]," katanya.

Menurut rekod, Akaun Amanah pembelian alat kelengkapan, keperluan perubatan, kemudahan dan perkhidmatan di kemudahan kesihatan KKM dilancarkan pada 23 Mac lalu, bagi membolehkan syarikat, NGO dan orang ramai untuk menyalurkan sumbangan bagi kegunaan barisan hadapan memerangi penularan Covid-19.

Pada 31 Mei, KKM menamatkan penerimaan sumbangan tunai berikutan penurunan kes positif Covid-19 dengan jumlah sumbang terkumpul sebanyak RM31,671,903.27.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 4:41 PM