Mohd Firdaus Ibrahim; Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kajian saintifik membuktikan permukaan kulit juga boleh menyebabkan berlaku jangkitan Covid-19 selepas sembilan jam dan kaedah kerap mencuci tangan langkah terbaik mencegah jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai digalakkan mencuci tangan dengan sabun kerana ia tidak mengandungi alkohol dan boleh mematikan virus.

Menurutnya, kerap mencuci tangan dan sentiasa basuh atau nyah cemar di kawasan yang sering digunakan.

"Melalui kajian dijalankan ke atas jenazah yang dibawa ke tanah perkuburan di mana apabila kita melaksanakan swab Covid-19 di kulit pun didapati positif selain cecair pada badan apatah lagi di organ lain juga akan jadi positif.

"Kemungkinan besar permukaan kulit positif sebab itu tidak menggunakan kaedah mandi sebaliknya jenazah ditayammum dan dimasukkan ke dalam plastik yang tidak dibuka terus," katanya pada sidang media Covid-19, di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ada kaedah untuk mencegah penularan kepada petugas kesihatan dan petugas di perkuburan.

"Langkah ini sudah digariskan di dalam wad, unit rawatan rapi (ICU) dan di tanah perkuburan kerana jika tidak patuh kebolehjangkitan itu tinggi.

"Ada kajian melihat kebolehjangkitan berlaku selepas sembilan jam bergantung pada permukaan sama ada sejuk atau lendir itu kekal di situ," katanya.

Katanya, ia satu bukti saintifik dan sebab itu ditetapkan kerap mencuci tangan selepas menyentuh permukaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 7:02 PM