Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Bintang skuad negara, Safawi Rasid memerlukan masa sekurang-kurangnya sebulan untuk menembusi skuad utama apatah lagi kesebelasan kelab liga utama Portugal, Portimonense SC.

Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, fokus utama Safawi ketika ini adalah cepat menyesuaikan diri dengan situasi semasa pasukan dan mampu mengikuti setiap latihan yang diterapkan oleh barisan kejurulatihan.

Beliau yang pernah berkelana ke kelab Ligue 1, RC Strasbourg sebelum dipinjamkan ke FCSB Haguenau berkata, ketika ini Safawi dalam proses pembelajaran dan jika segalanya berjalan lancar sudah pasti ada tempatnya dalam kesebelasan utama pasukan itu.

"Lihat dalam senarai pemain pasukan sudah tentu mereka datang daripada pelbagai latar belakang berbeza dengan masing-masing mempunyai pencapaian membanggakan.

"Apa yang boleh saya katakan memang susah untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama, namun tidak mustahil bagi Safawi memecah 'tembok' berkenaan jika terus komited dan sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan diri.

"Ketika ini, untuk Safawi berada dalam senarai skuad utama mungkin sukar dan perlu menunggu tempoh sebulan sebelum diberikan peluang," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Perlawanan Portimonense Sabtu ini sudah tentu menjadi tumpuan peminat tanah air apabila Safawi kemungkinan melakukan penampilan pertama bersama skuad utama menentang Tondela.

Jika dilihat atas kertas, agak sukar untuk pemain berasal dari Dungun, Terengganu itu diturunkan kerana perlu bersaing dengan tujuh pemain lain bagi merebut tempat di posisi sayap dan penyerang.

Mengikut formasi yang diterapkan ketua jurulatih Portimonense, Paulo Sérgio, mereka bermain dengan taktikal 4-3-3 seperti ketika menentang Maritimo Sabtu lalu.

Safawi perlu bersaing dengan rakan sepasukan yang lebih berpengalaman iaitu Aylton Boa Morte (sayap kanan) dan Welinton Júnior (sayap kiri).

Aylton, 27, yang juga pemain tempatan menyertai pasukan itu sejak setahun lalu dari kelab LigaPro, Cova Piedade bersama pemain Brazil, Welinton.

Sergio turut menyenarai lima penyerang dan sayap di bangku simpanan dengan masing-masing berpengalaman beraksi di pentas Eropah terutama dalama saingan liga Portugal.

Mereka ialah bekas pemain kelab liga bawahan Portugal, Parana iaitu Henrique Custodio, selain Júlio César, Beto dan Anderson Oliveira. Seorang lagi pemain adalah bekas penyerang Bolton Wanderers dan West Ham United, Ricardo Vaz Tê.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 6:35 AM