Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: 'Kenapa najis cicak ada warna putih dan hitam', 'Pernah tengok lipas menetas' dan 'Bunyi udang' adalah antara video unik yang dihasilkan seorang guru Sains.

Video itu kemudiannya dimuat naik di aplikasi TikTok hingga menarik perhatian netizen dan kemudiannya berjaya meraih jutaan tontonan.

Ahmad Iqbal Ahyar, 29, memilih aplikasi itu untuk berkongsi video dihasilkannya kerana tidak mahu menjadikan TikTok itu sekadar wadah hiburan.

Menurutnya, pendekatan mengajar dan menyebarkan ilmu Sains di aplikasi pilihan remaja masa kini itu nyata berjaya apabila videonya berjaya meraih jutaan tontonan walaupun baru saja membuka akaun TikTok pada April lalu.

Ahmad Iqbal yang juga tenaga pengajar Pusat Tuisyen Maths Clinic bagi subjek Sains dan Biologi itu berkata, dia tidak menyangka kandungan video itu mendapat perhatian dan tontonan yang tinggi.

"Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya tidak boleh mengajar anak murid di kelas.

"Semangat yang tinggi untuk terus mengajar walaupun tidak dapat berjumpa anak murid itu menyebabkan saya menggunakan TikTok untuk menyebarkan ilmu sains kepada masyarakat luar," katanya.

Ahmad Iqbal yang juga guru Sains dan Biologi.
Ahmad Iqbal yang juga guru Sains dan Biologi.

Dia yang berasal dari Manjung, Perak menggunakan slogan 'Ate Kome' pada setiap video yang dimuat naik di aplikasi itu supaya penyampaiannya lebih bersahaja.

"Kita sudah sedia maklum, netizen sememangnya menggunakan TikTok untuk berhibur.

"Oleh itu, saya ambil pendekatan menghasilkan video berunsurkan Sains itu lebih menarik.

"Ini termasuklah dari segi intonasi suara, penggunaan bahasa yang mudah difahami dan grafik yang menarik," katanya.

Menurutnya, dia sebenarnya sudah lama menyebarkan kandungan video yang mengajak agar semua pihak mencintai dan memelihara alam sekitar.

"Sejak 2018 lagi, saya sudah menghasilkan beberapa video mengenai alam sekitar antaranya isu kebakaran hutan amazon dan pemanasan global menerusi Instagram.

"Namun, ia kurang mendapat perhatian warganet ketika itu berkemungkinan kerana kandungan video yang agak berat.

"Oleh itu, saya berharap daripada kandungan video di aplikasi terbabit sedikit-sebanyak dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mencintai alam sekitar kita," katanya.

Menurutnya, dia berharap generasi muda menggunakan aplikasi itu untuk kebaikan dan bukannya untuk tujuan yang salah.

"TikTok ini umpama sebuah 'alat' untuk melakukan sesuatu hal. Saya ibaratkan aplikasi itu sebagai pisau yang boleh membawa keburukan dan kebaikan bergantung kepada cara seseorang itu menggunakannya.

"Ia akan membawa keburukan jika pisau itu digunakan untuk melukakan seseorang tetapi tidak jika digunakan untuk memasak demi memberi makan kepada orang lain," katanya.

Sehingga kini, akaun TikTok @iqbalahyar sudah mempunyai lebih lebih 340,000 pengikut dan mendapat hampir 6 juta tanda suka.

Antara paparan menarik video TikTok dihasilkan Ahmad Iqbal.
Antara paparan menarik video TikTok dihasilkan Ahmad Iqbal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 9:00 PM