MOHAMED Asali bersama Tengku Rosmimi berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dengan tiga anak mereka yang pekak dan bisu. FOTO Ihsan Mohamed Asali
MOHAMED Asali bersama Tengku Rosmimi berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dengan tiga anak mereka yang pekak dan bisu. FOTO Ihsan Mohamed Asali
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Lazimnya sesebuah keluarga besar meriah dan riuh rendah dengan kerenah masing-masing, namun berlainan dengan satu keluarga berstatus orang kurang upaya (OKU) di Kampung Chendering, di sini.

Keluarga itu boleh dilabelkan sebagai keluarga paling senyap di negara ini berikutan lapan sekeluarga itu dilahirkan pekak dan bisu.

Walaupun begitu, mereka menjalani kehidupan normal seperti orang lain seterusnya boleh dipuji dan dicontohi golongan senasib.

Mohamed Asali Razali, 47, dan isterinya Tengku Rosmimi Tengku Rakmal, 46, serta enam anak mereka iaitu Mohamed Asraq Mohamed Asali, 22, Norkasmira, 21, Norhafzan, 18, Muhammad Aswad,16, Muhammad Asman,13 dan Norzawani, 9, menjalani kehidupan berdikari termasuk bekerja dan bersekolah menggunakan bahasa isyarat sepenuhnya di rumah.

Mohamed Asali berkata, dia dan keluarganya menjalani kehidupan bahagia seperti orang normal yang lain.

"Sudah 23 tahun kami tinggal di rumah itu dan bersyukur kehidupan sekarang jauh lebih baik daripada dahulu yang penuh dengan cabaran.

"Dahulu anak masih kecil dan semuanya bersekolah pastinya mencabar untuk menyediakan segala keperluan.

"Sekarang ada anak yang bekerja dan membantu keluarga. Anak lelaki sulung, Mohamed Asraq sudah bekerja sebagai pembantu landskap manakala anak perempuan, Norkasmira tamat pengajian peringkat sijil kemahiran katering dan hotel di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di Perlis dan menjalani praktikal di kedai kek berdekatan," katanya kepada Metro Ahad menggunakan aplikasi WhatsApp.

Katanya, dia dan isteri sentiasa memberi semangat serta dorongan kepada semua anak mereka untuk menjalani kehidupan dengan semangat biarpun berstatus OKU.

"Kami tidak ajar anak lemah semangat dan mundur kerana kekurangan diri.

"Saya sendiri tunjuk contoh terbaik kepada anak dengan bekerja kuat daripada pagi hingga ke malam untuk cari rezeki membesarkan mereka.

"Apa yang diperlukan, saya cuba penuhi untuk pastikan mereka tidak berasa kekurangan dan ketinggalan daripada arus pemodenan. Sebab itu semua anak ada telefon bimbit masing-masing," katanya yang bekerja sebagai penyelenggara alat pemadam kebakaran.

MOHAMED Asali dan ahli keluarganya menjalani kehidupan normal seperti orang lain. FOTO Ihsan Mohamed Asali
MOHAMED Asali dan ahli keluarganya menjalani kehidupan normal seperti orang lain. FOTO Ihsan Mohamed Asali

Menurutnya, dia bangga kerana semua anaknya hidup berdikari dan tidak menjadikan kekurangan diri sebagai alasan tidak bercampur dengan masyarakat.

"Memang ada segelintir masyarakat mengejek dan menjadikan kami sebagai bahan jenaka, malah tidak kurang menyisihkan kami, namun kami sudah terbiasa melaluinya," katanya.

Tengku Rosmimi berkata, dia dan keluarganya masih ada rasa malu untuk tampil di khalayak ramai kerana kekurangan itu.

"Bukan tidak mahu bergaul dengan masyarakat, tetapi ada segelintir individu suka mengajuk bahasa isyarat yang kami gunakan untuk berinteraksi dan saya tidak suka.

"Pernah Muhammad Asman ketika masih di sekolah rendah pulang ke rumah sambil menangis akibat dibuli dan diejek kerana pekak dan bisu.

"Bagaimanapun, sekarang sudah jarang berlaku kes seperti itu kerana masyarakat seakan-akan mula menerima dan memahami keadaan kami," katanya.

Mohamed Asraq bersyukur kerana diterima bekerja di Istana Syarqiyyah dan boleh membantu keluarganya.

"Saya sudah lama ingin membantu ahli keluarga dan sekarang hasrat itu tercapai.

"Walaupun tidak banyak yang boleh membantu, ia tetap meringankan beban keluarga, maklumlah empat adik masih bersekolah.

"Norhafzan bersekolah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam, Muhammad Aswad di Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan dan Muhammad Asman serta Norzawani di Sekolah Pendidikan Khas (Pendengaran) Kuala Terengganu," katanya.

Katanya, dia tiada ramai kawan dan kebanyakan rakannya mengalami masalah sama iaitu pekak serta bisu.

"Kawan yang normal di tempat kerja saja dan kami berhubung menggunakan WhatsApp kerana ia lebih mudah berbanding bahasa isyarat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 8:01 AM