ZIZI cekalkan diri lupakan segala kesedihan di tahun ini.
ZIZI cekalkan diri lupakan segala kesedihan di tahun ini.
Georgie Joseph

TAHUN 2020 adalah mimpi ngeri disebabkan pandemik Covid-19.

Bagi penyanyi Zizi Kirana, 35, ia bukan sekadar virus berbahaya itu, tetapi tahun ini juga adalah tahun terburuk dalam kamus hidupnya. Satu-persatu dugaan datang menimpanya.

Selain kerjaya yang terjejas akibat wabak itu, dia juga terkesan dengan pemergian rakan karib yang juga penyanyi, Sandra Dianne, bapa angkat dan seorang peminatnya di Jakarta, Indonesia.

Justeru, ia meninggalkan parut yang sukar untuk dibuang.

Menurut Zizi, dia mahu melihat kehidupannya kembali bersinar dan melupakan kesedihan itu.

"Emosi saya tidak tenang sepanjang berdepan dengan pelbagai dugaan itu. Kehilangan orang tersayang sememangnya pedih, lebih-lebih lagi berlaku ketika dunia berdepan kesukaran akibat Covid-19.

"Melihat segala kejadian menyedihkan yang dilaporkan seperti orang kehilangan pekerjaan, bunuh diri dan kesempitan hidup, saya harap ia cuma mimpi semata. Namun, itulah yang berlaku dan ia benar-benar menyentuh hati saya," katanya.

Memiliki personaliti sempoi dan gila-gila, tidak pernah terlintas di fikiran bahawa hidupnya akan berdepan tahap kesedihan begini. Ternyata, musibah yang berlaku sepanjang tahun ini saja memberi impak mendalam terhadapnya.

Zizi berkata, dia sedar bahawa hari tidak selalunya indah. Walaupun berjiwa kental dan sentiasa ceria, rupa-rupanya tanpa menduga hatinya rapuh terutama apabila diuji dengan kesedihan berterusan.

Justeru, emosi itulah juga pencetus buatnya untuk tampil dengan karya terbaharu yang lari daripada kebiasaan gaya muziknya.

TIDAK sabar luaskan nama di Indonesia.
TIDAK sabar luaskan nama di Indonesia.

Melancarkan lagu berjudul Tentu baru-baru ini, projek bersama JOOX Malaysia itu menjadi dimensi baharu dalam kerjayanya.

Lebih dikenali sebagai penyanyi rap, kali ini Zizi perlu menyalurkan emosi mendalam serta menyerlahkan vokalnya dalam lagu berkenaan. Lagu ciptaannya bersama AJ, Gnello, Mingling dan Somean itu membawa makna besar buatnya secara peribadi.

"Saya akui lagu-lagu sebelum ini tidak banyak menuntut saya menyalurkan emosi mendalam. Bagaimanapun, Tentu benar-benar satu cabaran baharu buat saya. Komposer yang terbabitpun memang mahu saya menyanyi lebih banyak dan bukan rap.

"Apa yang menarik, lagu memang ada kaitan dengan kesedihan saya akibat pelbagai perkara yang terjadi. Mulanya memang sukar dan tidak yakin, namun akhirnya sampai juga emosi itu untuk disalurkan," katanya.

Berkongsi mengenai pemilihan genre lo-fi berbanding rap, Zizi berkata, idea itu datangnya daripada pengarah projek terbabit iaitu Faizal Tahir dan dia menyambutnya dengan gembira.

Itulah pertama kali dia bekerjasama dengan Faizal dan dia cukup teruja. Dalam masa sama, ia turut disertai dua anggota K-Clique iaitu Somean dan Gnello.

"Akhirnya saya dapat bekerjasama dengan Faizal dan ia satu penghormatan besar buat saya. Ternyata dia seorang yang cukup profesional dan tidak lokek dengan ilmu. Semua ideanya memang bernas termasuklah mahu lagu saya tampilkan genre berbeza.

"Kebetulan pula saya memang ada perancangan untuk hasilkan lagu bersama K-Clique. Projek itu tiba tepat pada masanya dan saya terus hubungi mereka. Ternyata, permintaan saya disambut baik oleh mereka dan terus siapkan rentak lagu dalam masa tidak sampai sehari," katanya.

Idam pentas berprestij

Tidak dinafikan nama Zizi semakin dikenali sekarang dan hampir semua impiannya dalam bidang seni sudah menjadi kenyataan.

Namun, dia tetap berazam untuk terus meluaskan lagi legasi muziknya dan memasang impian mahu ke pentas berprestij termasuk Anugerah Juara Lagu (AJL).

"Angan-angan saya untuk bekerja dengan nama-nama besar dalam industri sudah cukup memuaskan. Cukuplah saya sebut nama Malique, Datuk M Nasir dan Altimet. Mereka semua bukan calang-calang.

TAMPIL dengan karya lebih berbeza menerusi lagu Tentu.
TAMPIL dengan karya lebih berbeza menerusi lagu Tentu.

"Namun, saya teringin juga menaiki pentas lebih besar dan menjadi pengukuh kepada kualiti seni dalam diri saya. Tidak kisahlah acara apa, asalkan saya dapat ke tahap itu, contohnya bertanding di AJL," katanya.

Zizi yang sudah mencipta nama di Indonesia tidak menafikan banyak kerjanya di sana terkesan sejak pandemik Covid-19 melanda. Bagaimanapun, dia tetap menyimpan impian untuk kembali ke sana melunaskan perancangan bekerja dengan penyanyi mereka.

"Kalau bukan kerana pandemik sekarang, saya pastinya akan berulang-alik ke Jakarta bagi memenuhi pelbagai tuntutan kerja. Memang ada beberapa tawaran yang terpaksa dilupakan akibat segala larangan perlu dipatuhi sekarang ini.

"Apapun, saya reda dan faham ini semua demi kebaikan semua. Tidak apalah jika tiada rezeki itu, tetapi saya pasti akan kembali lagi ke sana sebaik keadaan kembali pulih nanti. Saya bakal bekerjasama dengan penyanyi rap Indonesia, tetapi biarlah saya rahsiakan dulu namanya. Saya memang mahu gunakan kesempatan itu untuk mengukuhkan nama di sana memandangkan sudah terbuka jalan itu," katanya yang juga bekas peserta program D'Academy Asia 2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 6:00 AM