AHMAD Nu'aimullah membantu lelaki berbangsa India (kanan) dalam kesusahan.
AHMAD Nu'aimullah membantu lelaki berbangsa India (kanan) dalam kesusahan.
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Maaf ganggu, bukan nak minta duit tapi nak minta belikan beras," demikian permintaan seorang lelaki kepada Ahmad Nu'aimullah Zulkifli dalam satu pertemuan semalam.

Kisah itu dikongsikan Ahmad Nu'aimullah, 27 di Twitter dan mendapat perhatian warganet hingga tular di media sosial.

Menceritakan kisah di sebalik ciapan dimuat naiknya itu, Ahmad Nu'aimullah yang menetap di Bandar Baru Selayang, Selangor berkata, dia didatangi lelaki berbangsa India berusia lingkungan 40-an ketika bersendirian di dalam kereta.

"Selesai berbelanja di sebuah kedai jam 1 tengahari semalam, saya duduk sebentar di dalam kereta.

"Tiba-tiba, cermin kereta saya diketuk seorang lelaki dan mulanya teragak-agak juga untuk melayan kerana memikirkan keselamatan diri.

"Namun, saya jadi simpati apabila melihat raut wajahnya yang nampak benar-benar perlukan pertolongan. Sebaik saya turunkan cermin, lelaki itu terus menceritakan keadaannya dan meminta tolong untuk membelikannya beras," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tanpa berlengah, Ahmad Nu,'aimullah terus membawa lelaki berkenaan ke kedai berhampiran.

CIAPAN Ahmad Nu'aimullah mendapat perhatian warganet.
CIAPAN Ahmad Nu'aimullah mendapat perhatian warganet.

"Mulanya saya belikannya beras tetapi dia beritahu turut memerlukan bekalan susu untuk anaknya.

"Jadi, saya belikan juga barangan keperluan lain memandangkan dia turut tinggal bersama isteri, lima anak, emak dan kakaknya yang istimewa di Prima Selayang.

"Saya tidak ke rumahnya kerana ada urusan lain tetapi sempat meminta nombor telefon untuk dihubungi dan dia kongsikan nombor ibunya memandangkan telefon bimbitnya sudah rosak," katanya.

Biarpun berbeza kaum dan agama serta tidak mengenali satu sama lain, Ahmad Nu'aimullah tidak keberatan membantu kerana hanya mahu meringankan beban individu kurang bernasib baik.

"Saya pernah susah dan tahu individu seperti itu tidak mahu meminta tetapi terpaksa tebalkan muka kerana terdesak.

"Kesusahan mereka buat saya bersyukur dan sedar ramai lagi lebih tidak bernasib baik di luar sana terutama dalam tempoh pandemik yang belum reda.

"Tak sangka ciapan saya itu tular tetapi saya gembira kerana ramai menyatakan keinginan untuk turut sama membantu selepas berkongsi butiran lanjut mengenai keluarga lelaki berkenaan di Twitter,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 3:13 PM