KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jangkitan kes Covid-19 mencatatkan perkembangan positif hari ini apabila kes pulih mengatasi kes baharu.

Sebanyak 649 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 30,090 kes dengan jumlah kes aktif 10,087 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, tujuh kes membabitkan kes import iaitu individu pulang dari Indonesia, India dan Filipina.

"Bagi kes penularan tempatan, 352 kes dilaporkan di Sabah, Selangor (132), Negeri Sembilan (43), Kedah (37), Kuala Lumpur (21), Labuan (17), Pulau Pinang (13), Johor (10), Sarawak (8), Perak (5), Terengganu (1), Melaka (1) dan Putrajaya (1).

"Secara keseluruhannya, 36 kes hari ini berkaitan kluster penjara iaitu 34 kes Kluster Tembok dan dua kes daripada Kluster Penjara Reman," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, terdapat 106 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 23 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya, sebanyak 685 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 19,757 kes atau 65.66 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, tiada kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal 246 kes atau 0.82 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 6:52 PM