Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap semua Ahli Parlimen dapat mengenepikan perbezaan politik untuk memastikan Bajet 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara.

Perdana Menteri berkata, ketika ini kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain.

"Satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan Ahli Parlimen untuk membolehkan Bajet 2021 diluluskan dengan sokongan ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

"Saya memberi jaminan kerajaan Perikatan Nasional akan terus mencari jalan terbaik untuk mengurus krisis besar yang sedang kita hadapi pada masa ini.

"Matlamat kita hanyalah satu iaitu untuk menang dalam melawan Covid-19 dan memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela," katanya dalam perutusan khas mengenai situasi semasa Covid-19, hari ini.

Muhyiddin berkata, dalam mengurus gelombang ketiga Covid-19 pada waktu ini, kerajaan cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan kesan yang terlalu buruk ke atas ekonomi negara yang boleh memberikan kesan negatif kepada kehidupan ekonomi rakyat.

"Saya tahu ramai rakyat yang sedang menderita kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan Covid-19.

"Banyak perniagaan yang terpaksa ditutup dan lebih 800,000 orang kehilangan pekerjaan. Saya mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian," katanya.

Katanya, disebabkan itu kerajaan akan membentangkan Bajet 2021 di Dewan Rakyat pada 6 November nanti yang akan menyediakan pelbagai peruntukan kepada agensi kerajaan, bantuan kepada rakyat jelata dan insentif kepada sektor korporat, industri dan perniagaan dalam menghadapi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

"InsyaAllah, dalam bajet yang akan dibentangkan nanti, kerajaan akan mengumumkan inisiatif yang bakal meringankan beban yang ditanggung oleh saudara dan saudari sekalian dalam menghadapi zaman yang sukar ini," katanya.

Menurutnya, ketika ini kerajaan mengambil pendekatan untuk mengimbangi antara kepentingan melindungi nyawa rakyat dan keperluan menjamin kelangsungan hidup.

"Kita perketatkan SOP (prosedur operasi standard) bagi kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan, sukan dan lain-lain untuk mengurangkan pergerakan orang ramai dan memutuskan rantaian jangkitan.

"Tetapi pada masa yang sama, kita benarkan kegiatan ekonomi untuk diteruskan tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat untuk memastikan perniagaan dan industri terus beroperasi," katanya.

TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Bernama
TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 4:36 PM