SEBASTIAN menerima kejutan daripada David Beckham yang hadir menyampaikan anugerah kepadanya. FOTO Mirror UK
SEBASTIAN menerima kejutan daripada David Beckham yang hadir menyampaikan anugerah kepadanya. FOTO Mirror UK
Agensi

London: Usaha seorang budak lelaki menyelamatkan ibunya daripada terjatuh ke dalam gaung tidak sia-sia apabila menerima kunjungan kejutan daripada legenda bola sepak England, David Beckham.

Mirror UK melaporkan Sebastian, 10, bertemu Beckham ketika menerima anugerah hasil pencalonan oleh Pasukan Penyelamat Gunung Abon.

Menurut Sebastian, dia tidak sangka akan bertemu dengan bintang bola sepak itu kerana diundang ke ke Hotel Langham, London bagi menghadiri sesi wawancara televisyen.

Malah, Sebastian tergamam sebaik melihat Beckham melangkah masuk ke dalam bilik acara.

"Saya rasa seperti tidak percaya apabila dapat bertemu dengannya.

"Dia memberitahu saya seorang yang sangat berani dan mengumumkan kemenangan saya.

"Selain menurunkan tandatangan, dia turut bertanya mengenai pasukan kegemaran saya iaitu Arsenal yang kebetulan sama dengan anaknya," katanya.

Sebastian mengakui rasa bertuah kerana dapat bertemu dengan pemain bola sepak kesayangan ramai itu.

"Gembira rasanya dapat bertemu legenda bola sepak seperti David Beckham kerana tidak ramai dapat peluang seperti itu.

"Saya juga terharu dengan anugerah diterima tetapi apa yang lebih menggembirakan adalah apabila saya masih ada ibu sehingga kini," katanya.

Sementara itu, Beckham meluahkan rasa kagum terhadap semangat dan keberanian Sebastian.

"Saya dengar cerita baik mengenai kamu, ia menakjubkan dan memberi inpirasi," katanya sebelum menyampaikan anugerah.

Percutian Sebastian bersama keluarganya di Gunung Ben Cruachan, Scotland bulan lalu bertukar tragedi apabila ibunya tergelincir ketika menuruni kawasan berbukit akibat cuaca buruk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 6:30 AM