Zaid Salim

Kuala Berang: Polis menahan seorang remaja perempuan bagi membantu siasatan kes bunuh Siti Nur Surya Ismail, 19, di rumah keluarganya di Kampung Lubuk Batu, Telemong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut berkata, suspek berusia 19 tahun yang juga kenalan mangsa ditahan selepas diserahkan oleh ibunya pada 8.15 pagi tadi.

Katanya, tangkapan terhadap suspek dibuat berdasarkan bukti yang ditemui di lokasi kejadian dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah burung berhampiran kediaman mangsa.

"Suspek datang ke Balai Polis Telemong ditemani ibunya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"Bagaimanapun, keterangan wanita terbabit mencurigakan selain terdapat beberapa kesan kecederaan termasuk gigitan pada lengan dan badan suspek sebelum ditahan untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di IPD Hulu Terengganu, di sini, hari ini.

Penduduk Kampung Binjai Chendering memantau air yang memasuki rumah mereka. FOTO Ghazali Kori
Penduduk Kampung Binjai Chendering memantau air yang memasuki rumah mereka. FOTO Ghazali Kori

Menurutnya, susulan penahanan itu, polis menjalankan siasatan di rumah suspek sebelum menemui beberapa barangan termasuk wang tunai dan peralatan solek dipercayai milik mangsa.

Katanya, sebelum kejadian, suspek dikatakan pergi ke rumah mangsa dengan menaiki motosikal.

"Ketika bersembang di ruang tamu, berlaku kata-mengata yang menimbulkan kemarahan pada suspek sebelum berlaku pergaduhan dan pergelutan.

"Suspek dikatakan mengambil pisau dapur yang ada di ruang tamu sebelum mengelar beberapa kali pada pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus," katanya.

Menurutnya, suspek yang masih belajar di tingkatan enam disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Marang, esok untuk permohonan reman.

Siti Nur Surya yang maut dibunuh rakannya sendiri.
Siti Nur Surya yang maut dibunuh rakannya sendiri.

Berita berkaitan

Jaga diri pesan terakhir Siti Surya [METROTV]

'Saya ingat kakak kena karan'

Ibu terlantar sakit saksi anak perempuan dibunuh penyamun [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 4:17 PM