REMAJA berusia 13 tahun dipaksa kahwin dengan Abdulrzak. FOTO agensi
REMAJA berusia 13 tahun dipaksa kahwin dengan Abdulrzak. FOTO agensi
Agensi

Manila: Dipaksa berkahwin dengan lelaki yang layak digelar bapa, malah terpaksa pula menjaga anak suaminya itu yang sebaya dengan usianya.

Itu episod malang menimpa seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di Filipina.

Daily Mirror melaporkan remaja itu dipaksa berkahwin dengan seorang petani, Abdulrzak Ampatuan, 48, di sebuah bandar di Mamasapano.

Beberapa keping gambar majlis perkahwinan pasangan itu yang berlangsung di Maguindanao, 22 Oktober lalu, menjadi tular di media sosial.

Difahamkan, pengantin remaja itu sah menjadi isteri kelima petani itu dalam upacara perkahwinan Islam.

Bagaimanapun, Abdulrzak tidak sedikit pun sesal menikahi remaja sebaya anaknya itu.

Dia sebaliknya mendakwa merancang memiliki anak bersama isteri baharunya ketika usia remaja itu mencecah 20 tahun.

"Saya sangat gembira menemuinya dan dapat menghabiskan hari saya bersamanya.

"Dia akan menjaga anak saya," katanya.

Katanya, dia akan menghantar isterinya itu belajar, sementara mereka belum bersedia memiliki anak.

Sesetengah tempat di Filipina terutama wilayah majoriti Muslim di Mindanao, membenarkan perkahwinan individu di bawah umur, asalkan dia sudah mencapai usia akil baligh.

Sementara itu, data Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) menunjukkan Filipina pada kedudukan ke-12 negara dengan jumlah pengantin kanak-kanak atau remaja iaitu 726,000 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 6:30 AM