LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
Wartawan NSTP


Padang Besar: Sindiket penyeludupan dipercayai menjadi dalang serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand dekat sini, awal pagi hari ini.

Sumber memaklumkan, tindakan pihak berkuasa Malaysia mengetatkan kawalan sempadan terutama di Perlis dan Kedah menyebabkan kegiatan penyeludupan menjadi sukar dilakukan.

Beliau berkata, sindiket sama turut dipercayai melepaskan tembakan amaran ke arah anggota PGA yang sedang melakukan rondaan sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 13 November lalu.

"Kes (tembakan) ini ada kaitan kumpulan penyeludup, ada yang tidak puas hati apabila kita ketatkan sempadan.

"Dua anggota sedang berkawal ketika diserang, ada anggota lain dengar bunyi tembakan," katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi hari ini, anggota PGA Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut terkena tembakan, manakala seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, parah.

Mereka yang sedang melakukan kawalan di pos sempadan dipercayai diserang dari arah negara jiran oleh anggota sindiket yang kemudiannya melarikan diri.

Tindakan pihak berkuasa mengetatkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand sejak Mac lalu, menyebabkan kegiatan penyeludupan terutama membabitkan sindiket dadah dan ketum menjadi lumpuh.

Berita berkaitan

'Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 10:27 AM