SI Cantik hadir ketika waktu orang ramai pulang bekerja. FOTO ihsan media Prasarana
SI Cantik hadir ketika waktu orang ramai pulang bekerja. FOTO ihsan media Prasarana
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Kehadiran seekor kucing betina diberi nama 'Si Cantik' yang duduk di laluan masuk dan keluar stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Wangsa Maju, di sini, menarik perhatian pengguna.

Beberapa gambar Si Cantik yang seolah-olah memantau prosedur operasi standard (SOP) pengguna LRT yang dimuatnaik jurufoto Prasarana, Mohd Faith Ezene Mad Tan di FB tular dan dikongsi ramai.

Jurucakap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkata, hasil temubual bersama pengurus LRT Wangsa Maju, Si Cantik sebenarnya sudah lama tinggal di situ.

"Atas dasar perikemanusiaan, pengurusan LRT Wangsa Maju menjaga kebajikan kucing jalanan itu memandangkan sudah hampir dua tahun ia tinggal di sini.

"Hampir setiap hari Si Cantik akan datang ke sini dan duduk di kerusi yang disediakan khas untuknya iaitu di sebelah anggota polis bantuan," katanya ketika ditemui dalam tinjauan Harian Metro di stesen LRT Wangsa Maju, di sini, hari ini.

ANGGOTA polis bantuan bersama Si Cantik memantau pengguna LRT Wangsa Maju. FOTO ihsan media Prasarana
ANGGOTA polis bantuan bersama Si Cantik memantau pengguna LRT Wangsa Maju. FOTO ihsan media Prasarana

Menurutnya, kucing betina itu sudah dianggap sebagai sebahagian komuniti di stesen berkenaan.

Katanya, pihaknya tidak berapa pasti asal usul kucing berkenaan tetapi yang pasti ianya sudah dimandulkan.

"Kami tidak menggalakkan mana-mana pemilik kucing meletakkan kucing mereka di kawasan ini namun Si Cantik agak berbeza sedikit disebabkan ia jinak dan seolah-olah mengetahui kawasan yang mana boleh dilaluinya.

"Malah, kucing ini juga tidak pernah melakukan sebarang masalah atau mengotorkan stesen sepanjang tinggal di sini.

"Si Cantik juga kami anggap sebagai 'pelepas tekanan' kerana sentiasa menunjukkan dirinya ketika waktu rata-rata pekerja pulang iaitu dari 5 petang hingga 7 malam," katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati kucing betina itu dipakaikan kolar reben ihsan komuniti Wangsa Maju, di sini.

SI Cantik jinak dan sudah dianggap sebagai sebahagian komuniti di stesen berkenaan. FOTO ihsan media Prasarana
SI Cantik jinak dan sudah dianggap sebagai sebahagian komuniti di stesen berkenaan. FOTO ihsan media Prasarana

Selain itu, kucing betina itu juga tenang apabila disapa atau dibelai pengguna LRT yang bertembung dengannya.

Sementara itu, Mohd Faith Ezene yang juga pencinta kucing berkata, dia kebetulan terjumpa 'Si Cantik' berada di stesen berkenaan ketika sedang bertugas.

"Sifat jinaknya menyentuh hati saya membuatkan saya ingin merakam detik itu dan berkongsi di media sosial.

"Menjaga kebajikan haiwan ini sepatutnya dianggap sebagai ibadah dan ia mendatangkan banyak manfaat kepada diri antaranya mengurangkan tekanan perasaan," katanya.

Menurutnya, dia turut menerima hadiah berupa makanan dan kolar untuk disampaikan kepada Si Cantik daripada pencinta haiwan selepas memuatnaik perkongsian itu di FB pada 16 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 8:52 PM